DESARU Coast sekali lagi bakal menjadi tumpuan komuniti sukan lasak antarabangsa apabila lebih 1,200 atlet dari 60 negara dijadual menyertai Festival Multisukan Desaru Coast 2026 yang berlangsung pada 26 Julai ini.
Penganjuran memasuki edisi kelima itu terus mengukuhkan kedudukan Desaru Coast sebagai antara destinasi utama triatlon di Asia Tenggara dengan penyertaan kira-kira 60 peratus atlet antarabangsa.
Festival anjuran IRONMAN itu menampilkan beberapa acara utama termasuk IRONMAN 70.3 Desaru Coast, perlumbaan 5150, Triatlon Pecut dan IRONKIDS yang menghimpunkan peserta pelbagai peringkat umur.
Bagi kategori Triatlon Pecut, peserta akan mengharungi cabaran 750 meter (m) renang, 20 kilometer (km) berbasikal dan 5km larian.
Acara 5150 pula melibatkan 1.5km renang, 40km berbasikal serta 10km larian, manakala IRONMAN 70.3 menguji ketahanan peserta menerusi 1.9km renang, 90km berbasikal dan 21km larian.
Pengarah Operasi Asia IRONMAN, CG Lim berkata, kombinasi kemudahan bertaraf dunia dan keindahan pantai menjadikan Desaru Coast lokasi ideal untuk penganjuran festival sukan bertaraf antarabangsa.
"Desaru Coast ialah destinasi yang menarik di rantau ini kerana menggabungkan resort bertaraf dunia dengan pantai menakjubkan. Ia hujung minggu sempurna buat keluarga yang mahu menikmati percutian indah," katanya.
Beliau berkata, selain menawarkan cabaran kepada atlet, festival berkenaan turut memberi pengalaman percutian kepada keluarga dan pengunjung.
Dalam pada itu, IRONMAN 70.3 Desaru Coast sekali lagi dipilih sebagai lokasi kelayakan ke Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 di Amerika Syarikat tahun depan.
Sebanyak 50 slot kelayakan ditawarkan kepada peserta terbaik, masing-masing 25 bagi kategori lelaki dan 25 wanita.
Cabaran Malaysia akan diketuai Teh Kuok Yuen yang kembali beraksi selepas kali terakhir menyertai perlumbaan itu pada edisi sulung 2022.
Kuok Yuen sebelum ini mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menamatkan perlumbaan IRONMAN jarak penuh di Copenhagen, Denmark dengan catatan 8 jam 56 minit 42 saat, selain muncul atlet tempatan terpantas pada IRONMAN 70.3 Desaru Coast 2022.
"Saya sentiasa menikmati perlumbaan di Desaru kerana lokasinya sangat sesuai untuk percutian hujung minggu. Saya sentiasa mahu datang ke sini untuk menguji kemampuan diri selepas menyertainya pada 2022," katanya.
Saingan tahun ini turut dimeriahkan beberapa atlet elit antarabangsa termasuk Assad Attamimi dan Jed Radbone dari Australia serta wakil Singapura, Ling Er Choo.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One, Izrin Hashim berkata, festival kali ini diperluaskan dengan pelbagai aktiviti sampingan bagi memastikan ia bukan sekadar acara pertandingan, sebaliknya sebuah festival yang dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
"Tahun ini kami memperluaskan festival dengan lebih banyak aktiviti untuk keluarga, penonton dan komuniti tempatan. Matlamat kami adalah mencipta festival untuk semua orang," katanya.