Lari Yang Berhormat, lari...
Iklan
Syed Saddiq berlari bagi mengumpul dana untuk membantu masyarakat Muar, di samping menzahirkan rasa syukur selepas melalui episod perundangan yang menghimpitnya selama enam tahun.
KALAU ada anugerah bintang politik paling popular, mungkin nama Syed Saddiq Abdul Rahman naik sebagai pemenangnya. Popularitinya merentas semua peringkat usia daripada budak-budak sekolah sampailah makcik-makcik di kawasan kejiranan, nama figura politik muda berusia 33 tahun ini menjadi topik bualan.
Langkah Ahli Parlimen Muar itu memilih pendekatan tak masuk akal untuk mengumpul dana kebajikan bagi kawasan diwakilinya melonjakkan lagi rating. Tidak perlu mengadakan majlis makan malam, tidak juga melancarkan tabung dengan dihadiri tetamu VIP, cuma mengikat tali kasut dan berlari sejauh kira-kira 170 kilometer dari Putrajaya ke Muar.