SERDANG – Polis mengesahkan ancaman bom yang diterima di sebuah hospital swasta di sini pada Selasa adalah palsu selepas pemeriksaan menyeluruh tidak menemui sebarang bahan letupan atau objek mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai ancaman itu pada kira-kira jam 2.54 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
Iklan
Iklan
"Operasi pemeriksaan dijalankan oleh Unit Pemusnah Bom bersama Pasukan Anjing Pengesan (K9) di bahagian dalam dan luar bangunan hospital.
Beliau berkata, Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut berada di lokasi bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya.
Muhamad Farid turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-8074 2222 atau di mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.