ISKANDAR PUTERI - Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) di Forest City serta mengarahkan semua aktiviti syarikat itu dihentikan berkuat kuasa esok susulan beberapa pelanggaran syarat pelesenan.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Penuh Khas MBIP selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan dan representasi yang dikemukakan syarikat berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] 19 individu dikaitkan Network School masih gagal dikesan
Batal lesen, permit Network School jika langgar undang-undang - Tunku Mahkota Ismail
Network School tangguh pelaburan baharu di Malaysia, pengasas mohon jaminan kerajaan
MBIP dalam kenyataan media pada Selasa memaklumkan pemeriksaan serta naziran terhadap aktiviti syarikat itu dijalankan pada 12, 14, 19 dan 20 Julai lalu.
Menurut kenyataan itu, sebuah premis di Teluk Bintang, Jalan Forest City 5 didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan.
Bagi sebuah lagi premis di lokasi sama, MBIP membatalkan lesen premis perniagaan dan lesen iklan selepas mendapati syarikat menjalankan aktiviti yang berlainan daripada kelulusan diberikan.
Syarikat itu turut didapati mempamerkan papan iklan yang tidak sama seperti permohonan diluluskan, sekali gus menyebabkan Notis Patuhi Syarat Lesen Iklan turut dikeluarkan.
MBIP menegaskan semua aktiviti perniagaan di bawah kawasan pentadbirannya perlu mematuhi undang-undang serta syarat pelesenan yang berkuat kuasa.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan itu tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan pendakwaan sekiranya syarikat berkenaan terus menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang.