Peranan CIGO peneraju agenda integriti organisasi - SPRM

Iklan
Azmi. Foto: SPRM

PUTRAJAYA – Sebanyak 247 Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) telah menubuhkan Unit Integriti dan Governans setakat Disember tahun lalu, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan sektor korporat dalam memperkukuh amalan tadbir urus, integriti dan pencegahan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, Ketua Unit Integriti dan Governans (CIGO) dalam negara disaran terus memainkan peranan sebagai peneraju agenda integriti dan tadbir urus yang baik dalam organisasi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peranan CIGO amat signifikan sebagai penghubung strategik antara dasar, tatakelola dan pelaksanaan di peringkat organisasi.

“Tanggungjawab ini menuntut kepekaan, kebijaksanaan serta keupayaan untuk menilai risiko, memberi nasihat yang tepat dan memastikan nilai integriti diterapkan dalam budaya kerja harian,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat CIGO Siri 8 Bilangan 1 Tahun 2026 di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.

Iklan

Azmi mempengerusikan Mesyuarat CIGO di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Selasa. Foto: SPRM

Dalam mesyuarat itu, Azmi menyeru lebih banyak agensi dan syarikat untuk menyertai Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), sama ada melalui penyertaan terbuka mahu pun pelaksanaan secara dalaman (in-house).

Iklan

Beliau berkata, program CeIO terus mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai sektor.

"Sehubungan itu, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melalui Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC) telah menambah tenaga kerja bagi membolehkan penambahan antara satu hingga tiga program baharu pada tahun ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan pelbagai insentif bagi menyokong usaha memperkukuh pelaksanaan agenda integriti, tadbir urus dan antirasuah dalam organisasi.

"Antaranya, kemudahan potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang merangkumi kos pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) serta pelaksanaan program berkaitan integriti dan pencegahan rasuah melibatkan komuniti melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Selain itu, potongan cukai di bawah Subseksyen 34(6)(ma) Akta Cukai Pendapatan 1967 turut boleh dituntut bagi perbelanjaan mendapatkan pengiktirafan pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah (Anti-Bribery Management System - ABMS) melalui Jabatan Standard Malaysia,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dato’ Azmi berkata, Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) turut membangunkan Sistem Pelaporan Unit Integriti Agensi (Agency Integrity Management Systems atau AIMS) sejak 2021.

Sehubungan itu, beliau menyarankan CIGO memanfaatkan sistem berkenaan bagi meningkatkan kecekapan pemantauan, penyelarasan pelaporan serta keberkesanan pelaksanaan program integriti dalam organisasi.

Dalam mesyuarat yang turut diadakan secara hibrid dalam talian membabitkan lebih 100 pegawai itu turut menyaksikan perkongsian daripada Petronas berkaitan pendekatan pragmatik dalam menangani rasuah dan jenayah kewangan menerusi pembangunan Suspicious Activity Indicator.

Jelas Azmi, pendekatan proaktif seperti yang dilaksanakan Petronas wajar dijadikan contoh oleh semua CIGO dalam usaha membina organisasi yang telus, berakauntabiliti serta bebas rasuah.