KUALA LUMPUR - Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FBM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) mempunyai kira-kira 280,000 alumni sekali gus mengukuhkan kedudukannya antara komuniti alumni universiti terbesar di Malaysia.
Presiden Persatuan Alumni Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UiTM, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan lebih sejuta alumni UiTM, selain mencerminkan peranan besar FBM dalam melahirkan tenaga profesional, usahawan dan pemimpin korporat negara.
Beliau berkata, FBM turut menerima sekitar 10,000 hingga 13,000 penuntut baharu setiap tahun, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kemasukan pelajar UiTM dan menjadikannya fakulti terbesar di universiti berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-70 FBM UiTM di Hotel Royale Chulan di sini pada Selasa.
Pada majlis sama, Sinar Harian turut dilantik sebagai media rasmi bagi sambutan ulang tahun berkenaan menerusi penyerahan surat lantikan rasmi kepada Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin
Firdaus diwakili Ketua Jabatan Komersial, Pemasaran dan Komuniti Sinar Harian, Rosli Ahmad bagi menerima surat lantikan tersebut.
Rosthman memberitahu, sepanjang penubuhannya, FBM kekal komited melahirkan pemimpin perniagaan, usahawan, profesional dan inovator yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta masyarakat.
Menurutnya, alumni merupakan aset paling bernilai fakulti kerana mereka terus mengharumkan nama FBM dan UiTM dalam pelbagai bidang di dalam dan luar negara.
Dekan Fakulti FBM UiTM, Profesor Dr Shafinar Ismail berkata, kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan industri kini menjadi elemen penting dalam melahirkan graduan berdaya saing, selain memastikan penyelidikan serta inovasi yang dihasilkan memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, pelancaran sambutan ulang tahun ke-70 FBM bukan sekadar permulaan kepada majlis makan malam, sebaliknya menjadi platform menghubungkan generasi alumni, memperkukuh kerjasama strategik dengan industri dan meraikan legasi fakulti sejak penubuhannya.
"Tahun ini merupakan detik bersejarah buat UiTM apabila universiti ini meraikan perjalanan 70 tahun sejak penubuhannya pada 1956.
"Sepanjang tempoh itu, UiTM kekal komited memperkasa bakat bumiputera menerusi pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi serta kerjasama bermakna dengan masyarakat dan industri," ujar beliau.
Beliau berkata, sepanjang tujuh dekad penubuhannya, FBM berjaya melahirkan ribuan graduan yang kini berkhidmat sebagai pemimpin korporat, usahawan, pembuat dasar, ahli akademik dan profesional yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta sosial negara.
Katanya, kejayaan itu didorong oleh kualiti pendidikan, nilai serta kepimpinan yang diterapkan kepada pelajar sepanjang pengajian mereka di fakulti berkenaan.
Shafinar berkata, sokongan berterusan daripada alumni dan rakan industri melalui kerjasama penyelidikan, projek industri, penambahbaikan kurikulum, program mentor, latihan industri serta peluang pekerjaan menjadi faktor penting dalam memperkukuh misi UiTM.
"Kisah kejayaan alumni bukan sahaja memberi inspirasi kepada pelajar, malah terus mengangkat reputasi universiti.
"Kami berharap alumni akan terus menyumbang kepakaran, menjadi mentor kepada pelajar, menyokong inisiatif akademik dan penyelidikan serta membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada graduan," tambah beliau.
Sementara itu, Rosli berkata, Sinar Harian akan memainkan peranan mempromosikan pelbagai aktiviti sempena sambutan berkenaan.
"Sebagai media rasmi, kami menyokong penuh inisiatif yang dilaksanakan oleh UiTM.
"Kami akan berusaha sebaik mungkin menguar-uarkan program ini menerusi liputan yang komprehensif supaya orang ramai mengetahui mengenai sambutan ini," jelas beliau.