Ehsan Vooze pacu evolusi jenama Ehsan

Iklan
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi menandatangani plak minuman isotonik Ehsan Vooze

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi menandatangani plak minuman isotonik Ehsan Vooze

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd (PEMSB) memperkenalkan minuman isotonik Ehsan Vooze sebagai langkah mempelbagai jenama Ehsan serta memenuhi permintaan pengguna.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Operasi PEMSB, Md Fazir Abdul Latif berkata, Ehsan Vooze direka bagi memenuhi keperluan atlet, penggiat sukan dan individu yang menjalani gaya hidup aktif, selain mencerminkan usaha PKPS menghasilkan lebih banyak produk berkualiti dan inovatif di bawah jenama Ehsan.

"Kami berharap Ehsan Vooze diterima sebagai minuman isotonik tempatan yang berkualiti pada harga berpatutan. Pelancarannya juga menjadi pembuka tirai kepada pengenalan produk ini sempena Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026," katanya.

Iklan

MD FAZIR

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengenalan Ehsan Vooze pada program Riuh Bola SINAR x redONE x RTM sempena perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Restoran Hakim, Seksyen 7, Shah Alam pada Isnin.

Iklan

Md Fazir berkata, pemilihan program itu sebagai lokasi prapelancaran membolehkan PKPS memperkenalkan produk berkenaan kepada lebih ramai pengguna khususnya komuniti sukan.

Ehsan Vooze ialah minuman tanpa karbonat yang diformulasikan untuk membantu mengekalkan hidrasi badan dan memulihkan elektrolit selepas melakukan aktiviti fizikal.

Ia turut diperkaya dengan Vitamin B1, B6 dan B12 untuk menyokong penghasilan tenaga serta membantu fungsi sistem saraf.

Ehsan Vooze didatangkan dalam dua pilihan perisa iaitu Original dan Blackcurrant.

Dalam pada itu, Md Fazir berkata, penyertaan PKPS dalam program Riuh Bola Sinar 2026 juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh penjenamaan Ehsan selain meningkatkan kesedaran pengguna terhadap produk tempatan.

Sepanjang program itu, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti di Booth Ehsan PKPS seperti cabaran Timbang Bola, Foot Golf, roda hadiah serta menikmati sampel percuma Ehsan Vooze.

Ehsan Vooze mula temui pengguna Ogos ini

Mengulas perancangan pemasaran, Md Fazir berkata, Ehsan Vooze akan mula dipasarkan pada pertengahan Ogos ini dengan kempen promosi yang memberi tumpuan kepada SUKMA Selangor 2026 yang bakal berlangsung dari 15 Ogos hingga 24 Ogos 2026.

Katanya, produk Ehsan Vooze juga boleh didapati di rangkaian outlet Ehsan Mart dan rakan strategik serta lokasi bergerak Jualan Ehsan Rahmah (JER) di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor bagi memudahkan orang ramai mendapatkannya.

PKPS turut meneroka kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi mengadakan jualan di sekolah-sekolah.

Dari kiri: Md Fazir, Rosnani dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli ketika pelancaran minuman isotonik Ehsan Vooze oleh PKPS pada Program Riuh BOLA SINAR x redOne Mobile x RTM di Restoran Hakim di Shah Alam.

Md Fazir berkata, PKPS meletakkan sasaran jualan produk Ehsan Vooze berjumlah RM250,000 sebulan sekali gus sasaran jualan antara RM1 juta hingga RM2 juta menjelang akhir tahun ini.

PKPS perhebat promosi jenama Ehsan

Sementara itu, Pengurus Besar Sektor Strategi Korporat PKPS, Rosnani Abdul Malek berkata, kerjasama PKPS dengan Sinar Harian banyak membantu memperluaskan promosi produk dan inisiatifnya kepada masyarakat.

"Sejak awal lagi PKPS dan Sinar Harian mempunyai hubungan yang baik. Kerjasama ini membolehkan lebih banyak produk dan program PKPS diperkenalkan kepada orang ramai," katanya.

Setakat ini, sebanyak 82 produk berada di bawah jenama Ehsan meliputi pelbagai kategori termasuk barangan keperluan harian, makanan sejuk beku, produk protein segar, barangan runcit, snek serta produk penjagaan diri.