KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan sindiket 'call centre' penipuan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai polis hasil serbuan ke atas sebuah premis, di sini pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, serbuan kira-kira jam 11 malam itu membawa kepada penahanan 16 individu berusia antara 24 hingga 51 tahun termasuk dua dalang utamanya.
Menurutnya, Individu ditahan terdiri dua lelaki warga tempatan, dua lelaki warga Taiwan dan 12 warga Filipina membabitkan empat lelaki serta lapan wanita.
"Hasil risikan mendapati premis itu dipercayai dijadikan pusat operasi panggilan yang menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai pegawai polis.
"Sindiket dipercayai menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Amerika Syarikat untuk diperdaya menggunakan pelbagai helah dan modus operandi yang telah dirancang," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Azry Akmar berkata, siasatan awal mendapati dua suspek warga Taiwan dipercayai dalang utama manakala dua warga tempatan berperanan sebagai penghantar dan pemandu.
"Selebihnya dipercayai bertindak sebagai ejen khidmat pelanggan yang berhubung secara langsung dengan mangsa.
"Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti jenayah tersebut termasuk 15 komputer riba, 21 telefon bimbit, sebuah router, tetikus dan sejumlah pakaian dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM55,000," katanya.
Menurutnya lagi, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, Azry Akmar mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis atau wakil mana-mana agensi penguat kuasa.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai arahan yang diterima melalui telefon, tidak mendedahkan maklumat perbankan serta tidak melakukan sebarang transaksi kewangan tanpa membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang sah.
"Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penipuan boleh disalurkan kepada pihak polis atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan
(NSRC) menerusi talian 997 untuk tindakan segera," katanya.