Pas Selangor desak kerajaan negeri bantu segera mangsa banjir kilat

Iklan
Ab Halim

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor digesa memperkenalkan langkah segera bagi meringankan beban mangsa banjir kilat termasuk bantuan pembaikan kenderaan, skim pinjaman tanpa faedah dan subsidi insurans banjir kepada golongan yang terjejas.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, banjir kilat kini bukan lagi bencana bermusim, sebaliknya menjadi beban kewangan yang berulang kepada ramai rakyat di negeri itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap kali hujan lebat, pemilik kenderaan terkesan terpaksa menanggung kerugian besar apabila kenderaan rosak ditenggelami air, selain ada yang kehilangan punca pendapatan kerana gagal ke tempat kerja.

"Malah, ada yang masih perlu meneruskan bayaran ansuran bulanan walaupun kenderaan mereka rosak teruk dan tidak lagi boleh digunakan.

Iklan

"Kejadian banjir kilat di Selangor juga semakin kerap dan melibatkan lebih banyak kawasan seperti Klang, Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Puchong, Kajang, Hulu Langat, Ampang serta Sungai Buloh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ab Halim berkata, walaupun projek tebatan banjir penting sebagai penyelesaian jangka panjang, pelaksanaannya mengambil masa bertahun-tahun menyebabkan rakyat memerlukan bantuan sementara yang lebih segera.

Iklan

Beliau berkata, peningkatan kos sara hidup turut menyebabkan ramai penduduk khususnya golongan B40 dan M40 tidak mampu mendapatkan perlindungan insurans banjir untuk rumah dan kenderaan.

Katanya, antara cadangan Pas Selangor ialah menyediakan bantuan khas pembaikan kenderaan kepada mangsa banjir, mewujudkan skim pinjaman tanpa faedah bagi membaiki rumah serta kenderaan yang rosak, selain memberi subsidi premium insurans banjir kepada penduduk di kawasan berisiko.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri memperhebat kerja penyelenggaraan longkang dan sistem saliran serta memasang pam bergerak di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas banjir.

"Rakyat tidak mengharapkan keajaiban dalam tempoh singkat, sebaliknya mahu melihat kerajaan hadir bersama mereka ketika musibah berlaku melalui tindakan yang cepat, praktikal dan mampu meringankan beban.

"Penyelesaian jangka panjang mesti diteruskan, namun bantuan sementara kepada mangsa banjir juga tidak boleh ditangguhkan," tambah beliau.