MELAKA - [KEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub membuat laporan polis berhubung fitnah disebarkan menerusi hantaran di Facebook yang telah mencemarkan reputasinya.
Beliau berkata, tindakan itu diambil selepas hantaran berkenaan mengaitkan namanya dengan tuduhan tidak bermoral dan tidak berasas.
"Isnin lalu saya menerima satu potongan hantaran berserta pautan Facebook yang mengandungi fitnah dan tuduhan tidak berasas terhadap diri saya.
"Pada Selasa saya telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin untuk membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu yang bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pemilik akaun Facebook berkenaan telah berkongsi dua hantaran mengaitkan Ketua Pembangkang Melaka itu dengan dakwaan mempunyai hubungan dengan isteri orang.
Mohd Yadzil berkata, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mereka-reka cerita, menyebarkan tuduhan palsu atau memutar belit fakta.
Beliau turut memetik Surah al-Baqarah ayat 191 yang bermaksud, ‘Dan fitnah itu lebih besar (bahayanya) daripada pembunuhan’ sambil menegaskan akan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
"Kepada pihak yang terlibat sama ada mencipta, menyebarkan atau membantu menularkan fitnah tersebut, saya memberi amaran supaya menghentikan perbuatan ini serta-merta.
"Saya tidak akan teragak-agak untuk meneruskan tindakan undang-undang sehingga pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," ujarnya.