TAWAU - Seorang bayi perempuan dipercayai ditinggalkan di kawasan semak ditemukan orang awam berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini, awal pagi, Selasa.
Bayi dipercayai baru dilahirkan ditemukan seorang lelaki kira-kira jam 6 pagi sebelum bertindak menghubungi ambulans.
Iklan
Iklan
Pemangku Ketua Polis Daerah Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung penemuan bayi tersebut.
"Bayi tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, siasatan sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti ibu kandung bayi dan individu yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.
"Sehubungan itu, polis sedang mengesan saksi berkaitan, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian sekiranya ada, selain membuat semakan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan," katanya.