'Ini kerja terakhir, lepas ini boleh rehat' - Kata-kata terakhir Mohd Haikal sebelum nahas

Iklan
Tiga sahabat maut apabila lori yang membawa ayam dari Utara ke Tendong, Pasir Mas dinaiki mereka merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan di Batu 7, Batang Merbau, Lebuh raya Timur Barat, Tanah Merah pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Mohd Haikal, Mohammad Zakwan dan Norazeman - Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

TANAH MERAH -"Ini kerja terakhir, lepas ini boleh rehat."

Demikian kata-kata terakhir Mohd Haikal Hanifah, 29, kepada keluarganya sebelum terlibat dengan kemalangan maut yang meragut nyawanya serta dua lagi sahabat di Batu 7, Batang Merbau, Lebuh raya Timur Barat di sini pada Selasa.

Iklan
Iklan

Anak keenam daripada lapan beradik itu merupakan kelindan lori lima tan yang membawa ayam dari Utara ke Tendong, Pasir Mas.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, lori terbabit yang dipandu rakannya, Mohammad Zakwan Mohd Nor, 25, dipercayai merempuh sebuah treler diparkir di tepi jalan berkenaan.

Iklan

Tiga sahabat maut apabila lori yang membawa ayam dari Utara ke Tendong, Pasir Mas dinaiki mereka merempuh sebuah treler yang diparkir di tepi jalan di Batu 7, Batang Merbau, Lebuh raya Timur Barat, Tanah Merah pada Selasa Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Sementara itu seorang lagi mangsa yang juga merupakan sahabat mereka serta pemandu pertama, Norazeman Abdul Aziz, 42, sedang tidur di bahagian belakang semasa kejadian berlaku.

Iklan

Menurut kakaknya, Shazleen, 32, arwah sepatutnya pulang pada Isnin namun memberitahu keluarga masih ingin bekerja dan ia merupakan perjalanan yang terakhir buatnya.

Shazleen menunjukkan gambar arwah adiknya, Mohd Haikal. FotoSINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Dia memberitahu, adiknya itu baharu beberapa hari bekerja menjadi kelindan lori selepas diajak oleh sahabatnya, Mohammad Zakwan.

Ujarnya, Mohd Haikal sepatutnya menyertai jamuan laksa bersama keluarga pada Isnin.

"Saya dimaklumkan tentang kejadian yang menimpa adik oleh ibu pada jam 6 pagi.

"Kami hendak ke lokasi kejadian kerana pada awalnya dimaklumkan Mohd Haikal masih hidup namun tidak lama kemudian mendapat panggilan dia sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini.

Ahli keluarga serta rakan kepada mangsa nahas berkumpul di Unit Forensik Hospital Tanah Merah pada Selasa. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Menurut dia, jenazah Mohd Haikal akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Kijang di sini.

Sementara itu, kakak kepada Mohammad Zakwan iaitu Azwani Mohd Nor, 38, memberitahu adiknya baru sebulan bekerja sebagai pemandu.

"Sebelum ini arwah bekerja dengan suami saya sebagai kelindan. Namun beralih ke pekerjaan ini sebagai pemandu ke dua.

Azwani menunjukkan gambar adiknya, Mohammad Zakwan. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

"Mereka bertiga adalah sahabat dan kali terakhir saya bercakap dengan arwah pada Isnin. Dia meminta saya belikan makanan untuk ayam peliharaannya," katanya.

Menurut dia yang merupakan anak sulung, itulah kenangan terakhir mereka berdua dan jenazah anak keenam daripada tujuh beradik itu akan dikebumikan di Kampung Ayer Chanal di sini.