1,480 mangsa scam di Kelantan, RM23.6 juta melayang

Iklan
Mohd Yusoff (kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada pegawai semasa perhimpunan bulanan di IPK Kelantan pada Selasa.

KOTA BHARU - Seramai 1,480 mangsa jenayah komersial di Kelantan terpedaya dengan pelbagai bentuk penipuan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM23.64 juta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jumlah kes yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 itu meningkat sebanyak 748 kes berbanding 732 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, peningkatan mendadak tersebut turut membabitkan kenaikan jumlah kerugian daripada RM17,037,724.28 kepada RM23,635,990.57.

Katanya, peningkatan kes jenayah komersial itu didorong oleh trend penipuan dalam talian yang semakin berleluasa, khususnya membabitkan 'phone scam', penipuan e-dagang, pelaburan dalam talian serta tawaran kerja sambilan.

Iklan

"Peningkatan ini amat membimbangkan apabila bukan sahaja jumlah kes bertambah, malah nilai kerugian yang dialami mangsa juga meningkat dengan ketara.

"Trend penipuan dalam talian semakin berleluasa dan masyarakat perlu lebih berwaspada supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai tawaran atau helah sindiket," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Iklan

Mohd Yusoff memberitahu, sindiket penipuan kini menggunakan pelbagai kaedah untuk memperdaya mangsa termasuk melalui panggilan telefon, urusan jual beli dalam talian, tawaran pelaburan serta peluang pekerjaan yang tidak wujud.

Beliau berkata, usaha membanteras jenayah komersial memerlukan tindakan penguatkuasaan yang berterusan selain memperkasakan pendidikan dan kesedaran masyarakat.

"Kerjasama masyarakat amat penting agar tidak mudah menjadi mangsa penipuan. Orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan atau berkongsi maklumat peribadi," katanya.

Ujar beliau, polis akan terus mempergiat usaha pencegahan dan penguatkuasaan bagi mengekang peningkatan jenayah komersial yang semakin membimbangkan.