KUALA LUMPUR – Dapatan hasil perbincangan pada International Regulators Conference (IRC) 2026 akan dipertimbangkan untuk dibawa ke peringkat Jemaah Menteri dan Dewan Rakyat bagi menambah baik serta menggubal undang-undang berkaitan teknologi digital yang lebih komprehensif.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pengalaman sebelum ini membuktikan hasil perbincangan dalam forum seperti IRC telah menyumbang kepada penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian, selain mencetuskan cadangan pindaan terhadap beberapa akta bagi menangani jenayah siber termasuk penipuan dalam talian.
"Kita akan membawa perkara ini (pandangan dan dapatan) untuk dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri dan juga dalam kalangan ketua-ketua setiausaha supaya mana-mana rangka undang-undang yang boleh ditambah baik atau perlu digubal baharu dapat dibawa ke Dewan Rakyat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan IRC 2026, di sini pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Dalam pada itu Fahmi memaklumkan, IRC yang memasuki edisi ketiga diwujudkan sebagai platform menghimpunkan badan kawal selia komunikasi dari pelbagai negara bagi bertukar pandangan mengenai cabaran teknologi yang berkembang pesat.
Beliau menjelaskan, antara isu yang menjadi fokus persidangan selama dua hari itu ialah keselamatan penggunaan AI, komunikasi kuantum serta keselamatan dalam talian.
"Kita harap yang terhasil daripada forum ini ialah beberapa tindakan susulan, bukan hanya di Malaysia tetapi di negara lain.
"Malaysia juga akan berkongsi dapatan persidangan tersebut dengan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi membantu membentuk kerangka kawal selia yang lebih sesuai dengan perkembangan teknologi semasa.
"Dalam masa sama kita tidak mahu kerangka kawal selia ini berada pada tahap sehingga tidak ada mana-mana pihak yang mahu melabur dalam teknologi baharu," ujarnya.
Menurutnya, perkembangan teknologi yang bergerak terlalu pantas sering mewujudkan kelompangan undang-undang serta membuka ruang kepada jenayah baharu yang boleh memangsakan pengguna.
"Pengalaman daripada negara lain amat penting untuk kita mengenal pasti kelemahan dalam undang-undang sedia ada dan tindakan yang perlu diambil," katanya.