BALIK PULAU - Sembilan warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan menjalankan kegiatan penipuan cinta atau Love Scam, awal bulan ini.
Kesemua tertuduh, Ye Binyu, 32, Yang Jie, 34, Xiang Hanghang, 33, Lin Zhixu, 30, Zhang Peng, 30, Huang Shihong, 31, Tan Qiao, 22, Tan Bo, 26 dan Li Mingrui, 27 membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menjadi pihak kepada suatu pakatan jenayah dengan bersetuju melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang bagi memperdayakan mangsa menerusi sindiket Love Scam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Muze PICC Condominium, Persiaran Mahsuri, Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas kira-kira jam 6.10 petang pada 1 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affandi Zulkifli dan Muhammad Sofi Jaafar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Luthfillah Hadi Ahmad.
Ikmal menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua orang penjamin warga Malaysia bagi setiap tertuduh.
"Saya juga memohon agar kesemua tertuduh melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai," katanya.
Sementara itu, Ahmad Luthfillah dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan terhadap kesemua tertuduh berikutan mempunyai pendapatan yang rendah di negara asal.
"Kesemua anak guam saya masuk ke negara ini sebagai pelancong dan masing-masing mempunyai pekerjaan tetap di China dengan lingkungan pendapatan antara RM 1,800 hingga RM 3,000.
"Saya memohon satu jumlah jaminan yang minima diberikan kepada tertuduh kerana mereka tidak punya keluarga di sini untuk membantu bagi membayar jaminan dan pendapatan di China juga tidak seberapa.
"Pihak kami juga bersedia dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia dan bersedia untuk menyerahkan pasport bagi simpanan pihak mahkamah," ujarnya.
Tambahnya lagi, jaminan yang diberikan tidak boleh bersifat menghukum dan hanya bagi memastikan kehadiran tertuduh pada tarikh akan datang.
Selain itu katanya, pasport yang akan diserahkan telah menutup ruang tertuduh daripada melarikan diri ke luar negara mahu pun melarikan diri daripada kes.
Huey Ting kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin warga Malaysia bagi setiap tertuduh.
Selain itu, beliau memerintahkan kesemua tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Sungai Nibong setiap Khamis selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kes ditangguh sehingga 27 Ogos untuk sebutan semula.