RIYADH - Kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman mengumumkan sekatan laut ke atas Arab Saudi, sekali gus berpotensi membuka medan baharu dalam konflik serantau yang membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Menurut laporan Reuters, perkembangan itu turut meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan tenaga serta perdagangan global apabila ancaman tidak lagi tertumpu di rantau Teluk, sebaliknya melibatkan laluan perkapalan strategik lain.
Susulan pengumuman itu, pakatan tentera diketuai Arab Saudi yang terbabit dalam konflik di Yaman memaklumkan akan bertindak balas menggunakan kekerasan bagi memastikan keselamatan operasi maritimnya.
Pada masa sama, pakatan itu mengumumkan pelaksanaan langkah perlindungan terhadap kapal-kapalnya yang melalui Selat Bab el-Mandeb, iaitu laluan perkapalan penting bagi eksport minyak Arab Saudi.
Langkah berkenaan diambil susulan penutupan berkesan Selat Hormuz, yang sebelum ini menjadi laluan utama penghantaran minyak dunia, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan rantaian bekalan tenaga dan perdagangan antarabangsa.
Perkembangan terbaharu itu dijangka meningkatkan lagi ketegangan geopolitik di Asia Barat, selain menambah risiko terhadap pasaran tenaga global sekiranya konflik terus berlarutan.