SHAH ALAM – Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain sehingga didedahkan secara terbuka di media sosial.
Menerusi hantaran di platform Threads, beliau meminta penjelasan daripada pihak telco mengenai dakwaan kebocoran maklumat bil telefon peribadinya yang dikaitkan dengan seorang pengguna media sosial.
“Mohon penjelasan daripada pihak telco macam mana bil telefon saya boleh bocor,” katanya.
Persoalan itu dibangkitkan selepas seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon Khairul Aming, termasuk menyatakan terdapat tunggakan sebanyak RM498 selain mengaitkannya dengan beberapa perkhidmatan tambahan (add-on digital purchase).
Bagaimanapun, Khairul Aming menjelaskan jumlah bil berkenaan bukan isu utama kerana ia adalah urusan peribadinya.
“Tapi yang jadi 'menyeramkan' macam mana awak boleh tahu maklumat bil telefon saya ni sampai buat hantaran kepada umum?Ini data peribadi saya,” katanya.
Beliau turut menegaskan persoalan utama adalah bagaimana maklumat berkaitan akaun peribadinya boleh diketahui dan dikongsi kepada umum tanpa kebenaran.
Hantaran berkenaan menarik perhatian pengguna media sosial yang turut mempersoalkan aspek keselamatan serta kerahsiaan data pelanggan sekiranya maklumat bil benar-benar diperoleh daripada sumber yang tidak sepatutnya.
Ramai pengguna menyifatkan isu berkenaan sebagai perkara serius kerana melibatkan perlindungan data peribadi pelanggan serta tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam memastikan maklumat pengguna tidak terdedah.
Setakat hantaran itu dimuat naik, belum terdapat sebarang penjelasan daripada pihak telco berhubung dakwaan yang dibangkitkan Khairul Aming.