Hak memandu warga emas

Iklan
Ramai warga emas terus memandu bukan kerana mahu tetapi kerana tiada pilihan lain untuk ke hospital, membeli keperluan harian atau menghadiri urusan penting. Imej janaan AI

ISU pemandu warga emas semakin mendapat perhatian apabila Malaysia bergerak ke arah status negara menua.

Isu ini bukan sekadar soal kebebasan individu tetapi menyentuh keseimbangan antara hak peribadi dan keselamatan masyarakat.

Iklan
Iklan

Dengan unjuran demografi menunjukkan lebih 14 peratus penduduk Malaysia akan berusia 65 tahun ke atas menjelang 2043, jumlah pemandu warga emas di jalan raya pasti meningkat, sekali gus menuntut mekanisme kawalan yang lebih sistematik.

Hakikatnya, ramai warga emas masih cergas dan berhemah ketika memandu malah pengalaman puluhan tahun menjadikan mereka lebih berhati-hati berbanding sesetengah pemandu muda.

Iklan

Namun, faktor usia membawa perubahan fisiologi dan kognitif yang tidak dapat dielakkan. Penglihatan dan pendengaran semakin berkurangan, refleks menjadi perlahan dan penyakit seperti strok ringan, Parkinson atau demensia boleh menjejaskan keupayaan mengendalikan kenderaan.

Dalam trafik bandar yang kompleks, kelewatan membuat keputusan walau sesaat boleh mencetuskan kemalangan besar.

Iklan

Tidak hairan lah insiden seperti tersalah tekan pedal minyak dan brek, memandu melawan arus atau berhenti mengejut sering dikaitkan dengan pemandu warga emas.

Dilema yang timbul ialah bagaimana masyarakat dan keluarga harus berdepan dengan realiti ini.

Ramai anak-anak memilih berdiam diri walaupun sedar ibu bapa mereka tidak lagi sesuai memandu, kerana bimbang dianggap menghalang kebebasan.

Namun memandu bukan sekadar hak, ia adalah tanggungjawab terhadap nyawa sendiri dan orang lain. Keberanian sebenar warga emas bukanlah mempertahankan kebebasan memandu tetapi mengakui bila kemampuan sudah berkurangan.

Negara lain telah lebih awal mengatur mekanisme penilaian semula lesen warga emas.

Di Jepun, pemandu berusia 70 tahun ke atas diwajibkan menghadiri kuliah keselamatan dan menjalani ujian penglihatan, manakala mereka yang berusia 75 tahun ke atas perlu melalui ujian praktikal jika terlibat dalam kesalahan trafik tertentu.

Pendekatan ini menekankan kesedaran risiko dan refleks pemandu. Australia pula mewajibkan pemeriksaan kesihatan tahunan bagi pemandu berusia 75 tahun ke atas dengan kemungkinan lesen bersyarat seperti hanya dibenarkan memandu pada waktu siang atau dalam kawasan tertentu.

Di United Kingdom, pemandu berusia 70 tahun ke atas perlu memperbaharui lesen setiap tiga tahun dengan pengisytiharan kesihatan kendiri namun cadangan ujian mata wajib sedang dipertimbangkan kerana tekanan awam semakin meningkat.

Malaysia boleh mencontohi gabungan pendekatan ini. Pemeriksaan kesihatan berkala dan ujian penglihatan wajib boleh dilaksanakan sementara lesen bersyarat memberi ruang kepada warga emas yang masih berupaya tetapi dengan kawalan tertentu.

Kuliah keselamatan seperti di Jepun juga boleh meningkatkan kesedaran risiko. Namun, semua ini perlu disokong dengan sistem pengangkutan awam yang mesra warga emas.

Kerajaan perlu memperkukuh sistem pengangkutan awam yang mesra warga emas agar mereka mempunyai alternatif mobiliti yang selesa dan boleh dipercayai.

Ramai warga emas terus memandu bukan kerana mahu tetapi kerana tiada pilihan lain untuk ke hospital, membeli keperluan harian atau menghadiri urusan penting.

Jika pengangkutan awam lebih mudah diakses, selesa dan boleh dipercayai, kebergantungan mereka terhadap kereta persendirian dapat dikurangkan.

Akhirnya, perbincangan mengenai pemandu warga emas tidak sepatutnya dilihat sebagai usaha menyekat kebebasan golongan berusia.

Sebaliknya, ia adalah usaha mencari keseimbangan antara hak individu dan keselamatan masyarakat.

*Syajaratulhuda Mohd Rosli ialah wartawan Sinar Harian