30,000 peluang pekerjaan, 20,000 rumah mampu milik antara tawaran Manifesto PH Negeri Sembilan

Iklan
Aminuddin (duduk, dua dari kanan) ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan di Seremban pada Isnin.

SEREMBAN – Penyediaan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti serta pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik menjadi antara keutamaan manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sasaran berkenaan perlu disokong dengan kemasukan lebih banyak pelaburan baharu ke negeri itu supaya peluang pekerjaan dapat diwujudkan secara mampan.

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: PH tawar manifesto yang bukan sekadar janji - Aminuddin

“Kerana itu kita mahu mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi. Ini penting bagi kita dan kerana itu juga kita mahu membawa lebih banyak pelaburan baharu masuk ke Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan di sini pada Isnin.

Iklan

Mengulas sektor perumahan, Aminuddin berkata, PH menyasarkan pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik, selain meneruskan usaha menyelesaikan isu tanah yang masih berlarutan di beberapa kawasan.

Menurutnya, penyelesaian masalah tanah, geran dan hak milik perlu diberikan perhatian kerana ia membabitkan masa depan serta kepentingan rakyat.

Iklan

Beliau berkata, inisiatif perumahan termasuk Rumah Mampu Milik dan Rumah Harapan bukan sekadar menyediakan bangunan, sebaliknya membantu lebih ramai keluarga memiliki kediaman yang selesa dan terjamin.

Terdahulu, Manifesto bertemakan Kekal Harapan Negeri Sembilan itu menggariskan 10 komitmen utama bagi meneruskan agenda pembangunan negeri menuju aspirasi Negeri Sembilan Maju 2045.

Manifesto berkenaan disusun berasaskan keperluan rakyat, pertumbuhan ekonomi mampan, peluang pekerjaan berkualiti, kebajikan menyeluruh serta pembangunan seimbang melibatkan masyarakat bandar dan luar bandar.

PH turut memberi jaminan untuk mempertahankan sebuah kerajaan negeri yang stabil, telus, berwibawa, mesra rakyat dan bebas rasuah supaya pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.

Antara tawaran utama ialah pelaksanaan Pelan Ekonomi Negeri Sembilan 2045 serta pembangunan industri berteknologi tinggi melibatkan sektor semikonduktor, pusat data, ekonomi digital, logistik dan teknologi hijau.

Dalam aspek kebajikan, Skim Sejahtera Rakyat (SSR) akan diperkasakan menerusi pelbagai bantuan tunai secara sekali bayar yang merangkumi rakyat sejak lahir hingga usia emas.

Antaranya caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM200 bagi bayi baharu lahir, Bantuan Anak Sekolah sebanyak RM770, bantuan pelajar institusi pengajian tinggi antara RM500 hingga RM1,500 serta bantuan sara hidup pelajar universiti awam sebanyak RM2,400 setahun.

Graduan kelas pertama pula ditawarkan insentif RM5,000, manakala pelajar Sijil Pelajaran Malaysia yang memperoleh semua A+ dan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00 masing-masing menerima RM1,000.

Bagi sektor pendidikan, PH menawarkan pendidikan percuma kepada semua pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kolej Yayasan Negeri Sembilan, program tuisyen percuma untuk keluarga B40 dan M40 serta Program Literasi Digital dan Kecerdasan Buatan untuk pelajar serta belia.

Selain itu, manifesto berkenaan turut menyenaraikan lima projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

Projek itu melibatkan pembangunan Seremban Sentral dan peningkatan kekerapan perkhidmatan komuter Seremban-Kuala Lumpur, pembinaan Hospital Bandar Enstek, Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, pembinaan rumah kedua di lot kediaman Felda serta Landasan Pintasan Senawang-Port Klang.

Dalam usaha memperkukuh ekonomi rakyat, PH turut menawarkan penubuhan Tabung Usahawan Belia, peluasan program pemerkasaan wanita WADANI, Pelan Pertanian Pintar Negeri Sembilan serta Program Petani Muda.

Sektor pelancongan dan warisan pula akan dibangunkan menerusi Pelan Pelancongan Negeri Sembilan 2030, inisiatif Tourism, Arts and Culture@Negeri Sembilan serta penganjuran Perpatih Fest bagi memperkasakan Adat Perpatih.

Manifesto tersebut disifatkan sebagai kesinambungan kepada dasar yang telah dilaksanakan sebelum ini, selain menawarkan hala tuju baharu untuk menjadikan Negeri Sembilan lebih maju, berdaya saing, mampan dan inklusif menjelang 2045.