Isu DAK: Nilai berdasarkan bukti, bukan persepsi

Iklan
Ahmad Rosli

SHAH ALAM - Orang ramai diminta mengelakkan sebarang sangkaan atau tohmahan tanpa asas berhubung siasatan kes pemindahan tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Jepun kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.

Bekas Pengerusi Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham berkata,  siasatan perlu dinilai berdasarkan bukti, bukannya persepsi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tohmahan tanpa asas bukan sahaja boleh mengganggu siasatan, malah berisiko mendedahkan pihak yang membuat dakwaan kepada tindakan undang-undang seperti disaman.

"Masyarakat perlu memahami perbezaan antara siasatan dengan tangkapan dan siasatan tidak semestinya membawa kepada tangkapan kerana tangkapan adalah berdasarkan keterangan yang ditemui semasa siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau menjelaskan, dari sudut perundangan, siasatan dimulakan selepas pihak berkuasa menerima maklumat sama ada melalui aduan atau hasil risikan sendiri.

Katanya, tangkapan pula dibuat berasaskan tiga asas utama iaitu maklumat yang boleh dipercayai, syak yang munasabah atau aduan yang munasabah.

Iklan

"Tangkapan dibuat apabila terdapat individu yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang berasaskan tiga asas yang disebutkan di atas," katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PKAM) mempersoalkan ketelusan SPRM dalam siasatan berhubung isu pemindahan DAK ke Jepun.

Pada 9 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata, empat ditahan terdiri daripada seorang pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), seorang pesara jabatan itu yang juga bekas Pengarah Bahagian Taman Zoologi, serta dua pemilik syarikat bagi membantu siasatan isu pemindahan gajah ke Jepun.

Ahmad Rosli berkata, adalah tidak wajar untuk membuat kesimpulan bahawa keseluruhan jabatan atau kementerian bersalah hanya berdasarkan sangkaan, termasuk menggesa ketua jabatan atau menteri ditahan sebelum siasatan selesai.

Katanya, ketua jabatan atau penyelia juga boleh dikelirukan oleh pihak yang melakukan penyelewengan dan tidak menyedari berlaku pelanggaran undang-undang oleh pegawai.

"Dalam kes berkenaan belum diketahui sama ada pihak pengurusan tertinggi mengetahui, merestui atau terlibat dalam sebarang salah laku kerana siasatan masih berjalan dan belum selesai.

"Ketua SPRM telah menyatakan bahawa siasatan adalah meliputi aliran transaksi kewangan dalam proses pemindahan gajah berkenaan," katanya.

Menurutnya, proses itu adalah tindakan dalaman jabatan yang berkenaan.

"Ini bermakna pegawai jabatan yang terbabit telah disiasat bagi mencari keterangan sama ada telah berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang dalam transaksi-transaksi berkaitan.

"Saya percaya mereka ditangkap kerana ada asas dari segi keterangan untuk disyaki secara munasabah telah melakukan pelanggaran undang-undang, namun semua pihak tetap berhak kepada anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah," katanya.

Beliau berkata, memandangkan siasatan masih berjalan, semua pihak berkepentingan wajar mengelakkan kenyataan spekulatif yang boleh mengganggu siasatan, mempengaruhi saksi atau menjejaskan reputasi individu yang belum dibuktikan bersalah.

Tegasnya, SPRM atau mana-mana agensi penguat kuasa perlu diberikan ruang untuk membuat siasatan bagi mengumpul bukti, manakala orang ramai digalakkan memberi kerjasama sekiranya boleh membantu.

"Sekiranya ada keterangan yang boleh membuktikan mana-mana pegawai, ketua jabatan atau kementerian melakukan pelanggaran undang-undang maka mereka akan didakwa sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang," ujarnya.