Ramai penagih di Selangor 'pilih' syabu

Iklan
Nazir (kanan) beramah mesra dengan petugas media selepas Majlis Penghargaan Media dan Jalinan Strategik AADK Selangor di Kajang pada Isnin.

KAJANG - Methamphetamine atau syabu merupakan dadah paling banyak digunakan penagih di Selangor.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Nazir Mohamad berkata, statistik pihaknya tahun ini bagi tempoh enam bulan bermula Januari mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 464 operasi dengan 2,158 tangkapan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 301 operasi dengan 1,413 tangkapan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan perbandingan kedua-dua tahun bagi tempoh sama itu, dadah methamphetamine kekal sebagai dadah utama.

"Ini diikuti heroin, ganja dan selebihnya lain-lain seperti benzo, MDMA serta ketamin.

Iklan

"Bagi taburan tangkapan pula, daerah Hulu Langat paling tinggi direkodkan pada tahun 2025 iaitu 295 orang, manakala tahun ini Klang tertinggi dengan 429 orang.

"Bagi tahun ini, kategori umur 17 hingga 30 tahun paling tinggi tangkapan dicatatkan dengan 34 peratus atau 700 orang, manakala tahun lepas usia 31 hingga 40 paling banyak dicatatkan iaitu 522 orang (37 peratus)," katanya semasa berucap di Majlis Penghargaan Media dan Jalinan Strategik AADK Selangor di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, trend penagihan dadah semakin kompleks, jenis dadah baharu dan mencabar memerlukan modul rawatan pemulihan selain pendekatan yang holistik serta kontemporari.

Jelasnya, tahun ini setakat Jun, jumlah klien Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) Selangor merekodkan 5,093 orang iaitu 4,760 lelaki, 332 wanita serta seorang transgender.

"Pemeriksaan ke atas klien terbabit mendapati 30 orang merupakan pesakit mental, muallaf (24 orang), HIV (19 orang), terlantar (5 orang) dan orang kurang upaya (10 orang)," ujarnya.

Beliau berkata, AADK melaksanakan penguatkuasaan undang-undang kepada penagih dadah yang enggan mendapatkan rawatan secara sukarela.

Nazir (empat dari kanan) dan Zainudin (lima dari kanan) ketika Majlis Penghargaan Media dan Jalinan Strategik AADK Selangor di Kajang pada Isnin.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan bagi melindungi masyarakat dan memastikan individu yang terlibat dibawa masuk ke dalam sistem rawatan.

"Namun matlamat akhirnya bukan semata-mata untuk menangkap atau menghukum, tetapi untuk membuka jalan kepada rawatan, pemulihan dan perubahan kehidupan.

"Selain daripada usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan penagihan dadah, AADK juga turut menguatkuasakan undang-undang melalui penguatkuasaan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan)," ujarnya.

Kata Zainudin, pihaknya turut mengalukan mereka yang mempunyai masalah penagihan untuk hadir ke AADK bagi mendapatkan rawatan secara sukarela yang tidak melibatkan perintah mahkamah.

"Saya ingin mengulangi bahawa kejayaan kita dalam membanteras dadah tidak boleh dipikul oleh AADK semata-mata.

"Kita memerlukan kerjasama semua, pihak media, rakan pintar jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), Pusat Pemulihan Persendirian, Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah dan seluruh komuniti," ujarnya.