PASIR MAS - Seorang buruh didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan dan diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 36 jam oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mendedahkan anak perempuannya yang berusia setahun lapan bulan kepada dua jenis dadah.
Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Shahrul Hisham Lailatulazhma, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya dan turut memerintahkan tertuduh mengikat bon berkelakuan baik sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi tempoh setahun.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak kandungnya itu didakwa mendedahkan kanak-kanak itu kepada dadah sehingga menyebabkan mangsa mempunyai kandungan dadah jenis benzodiazepines dan methamphetamine dalam tubuh badannya.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang dekat sini pada 10.30 malam, 5 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyha Nai’lah Harizan memohon hukuman setimpal atas alasan tertuduh gagal menjaga mangsa sehingga menyebabkan kanak-kanak itu terdedah kepada dadah.
"Perbuatan tertuduh memberi kesan terhadap kesihatan mangsa dan hukuman sewajarnya perlu dikenakan sebagai pengajaran,” katanya.
Muhammad Shahrul yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan menyara isteri yang tidak bekerja serta anaknya itu. - Bernama