Pemangku Menteri Hal Ehwal Islam Singapura letak jawatan

Iklan
Muhammad Faishal Ibrahim. Foto CNA.

SINGAPURA – Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam Singapura, Muhammad Faishal Ibrahim meletakkan jawatan daripada semua kedudukan politik pada Isnin selepas mengakui tindakannya terhadap seorang wanita tidak memenuhi standard yang ditetapkan bagi seorang pemegang jawatan politik dan ahli Parlimen.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, Faishal yang juga Menteri Kanan Negara bagi Ehwal Dalam Negeri turut melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen dan ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkuat kuasa serta-merta.

Iklan
Iklan

Menurut Wong, perkara itu mula diketahui kira-kira sebulan lalu selepas Pejabat Perdana Menteri menerima e-mel daripada seorang wanita yang membuat aduan berhubung interaksinya dengan Faishal.

Susulan itu, siasatan dalaman dijalankan dan kedua-dua pihak dipanggil secara berasingan bagi mendapatkan penjelasan.

Iklan

Wong berkata, kebanyakan interaksi antara mereka berlaku menerusi mesej dalam talian, selain beberapa pertemuan ketika menghadiri program awam.

Kedua-dua pihak kemudian saling membuat dakwaan gangguan terhadap satu sama lain sebelum kes itu dirujuk kepada polis untuk siasatan.

Iklan

Bagaimanapun, selepas meneliti fakta kes dan mendapatkan pandangan Pejabat Peguam Negara, pihak berkuasa memutuskan tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh mana-mana pihak.

"Tiada tindakan jenayah akan diambil. Namun persoalan berasingan ialah sama ada tingkah laku Faishal memenuhi standard yang diharapkan daripada seorang pemegang jawatan politik dan Ahli Parlimen," kata Wong.

Menurut beliau, selepas menilai perkara itu, Faishal mengakui tindakannya tidak memenuhi standard berkenaan sebelum mengambil keputusan meletakkan jawatan.

Wong turut mengumumkan Menteri Kanan Negara bagi Pertahanan serta Kemampanan dan Alam Sekitar, Zaqy Mohamad akan memangku portfolio Hal Ehwal Islam, manakala empat lagi ahli Parlimen di kawasan Marine Parade-Braddell Heights GRC akan terus berkhidmat kepada penduduk di Kembangan.

Dalam surat peletakan jawatannya kepada Wong, Faishal berkata, keputusan itu dibuat atas sebab peribadi.

Beliau mengakui berlaku kelemahan dalam cara beliau mengendalikan interaksi dengan seorang wanita, walaupun menegaskan tiada hubungan fizikal antara mereka dan beliau tidak pernah berniat untuk menjadikan hubungan itu bersifat romantik.

"Saya melakukan kesilapan dalam pertimbangan serta gagal menetapkan batas yang lebih jelas sejak awal," katanya.

Faishal berkata, beliau menerima bahawa tindakannya tidak selaras dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dan memilih meninggalkan dunia politik bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarganya.

Dalam surat balas, Wong menyatakan beliau sedih dengan keputusan itu, namun menghargai kesediaan Faishal mengakui kesilapannya serta bertanggungjawab terhadap tindakannya.

Faishal menyertai politik pada 2006 dan telah berkhidmat lebih dua dekad dalam pelbagai jawatan kerajaan, termasuk sebagai Menteri Negara dan Menteri Kanan Negara di beberapa kementerian sebelum dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam pada 2025. - Agensi