HULU TERENGGANU – UMNO Terengganu mengesahkan bahawa setakat ini masih belum ada sebarang perbincangan rasmi diadakan berhubung pembentukan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, lanskap politik negara pada masa kini telah berubah menjadi sangat dinamik di mana pendekatan di setiap negeri tidak lagi sama dan memerlukan kebijaksanaan kepimpinan untuk menyesuaikan diri.
"Pola politik sekarang kita tidak boleh jangka. Kadang-kadang di Terengganu lain, di Sarawak lain, di Sabah lain, di Negeri Sembilan lain dan di Johor pula lain. Pola politik telah berubah, jadi kita kena bijak mengikut perubahan semasa.
"Semua orang nak memperkuatkan parti masing-masing tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
"Di Terengganu, setakat ini tidak ada perbincangan lagi dengan mana-mana pihak, kita berjalan (bekerja) sebagaimana biasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas melawat projek infrastruktur Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Tasik Kenyir di sini pada Isnin.
Mengulas mengenai kemungkinan formula kerjasama rentas parti itu dilaksanakan di Terengganu demi membentuk kestabilan pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini, Rozi menjelaskan beliau bersikap terbuka sekiranya ia mendatangkan kebaikan kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau menarik contoh model pentadbiran di Sarawak dan beberapa negeri lain yang mempunyai acuan politik tersendiri yang berbeza dengan pentadbiran di peringkat Kerajaan Persekutuan.
"Kerjasama itu tak ada masalah demi kepentingan dan kebaikan rakyat. Mungkin kerjasama di peringkat negeri dan peringkat pusat itu berbeza, dan benda ini bukan tidak berlaku, ia sudah berlaku contohnya di Sarawak.
"Sebab itu saya kata pola politik ini sudah berubah, kita kena bijak menyesuaikan diri. Kalau kita tidak mahu berubah, kita akan ketinggalan," jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, UMNO Terengganu enggan terburu-buru mengulas mengenai isu dakwaan penyelewengan dana awam membabitkan syarikat utiliti/kumpulan besar yang kini tular di media sosial.
Rozi menegaskan, sebarang ulasan atau pendirian rasmi parti hanya akan dibuat selepas mendapat laporan sahih daripada agensi penguatkuasa dan pihak kerajaan, bukannya bersandarkan kepada naratif yang dibawa oleh netizen.
"Kita tidak boleh mengambil (tindakan atau ulasan) dalam konteks mendengar di media sosial semata-mata. Benda ini kena tengok dengan cara yang diperhalusi dan betul kerana ini membabitkan dana awam.
"Sekarang ini sebenarnya tidak ada laporan secara rasmi pun, cuma kita mendengar daripada laporan-laporan media sosial sahaja. Jadi kita tidak boleh guna pakai sangat," katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap sistem tadbir urus kerajaan dan menegaskan bahawa proses pengeluaran dana awam bukanlah satu perkara yang mudah untuk dimanipulasi sewenang-wenangnya.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat keperluan untuk melakukan siasatan lanjut.
"Saya yakin dan percaya kerajaan kalau nak guna duit dana awam ini bukan satu kerja yang mudah. Nak tuduh itu mudah, tapi bukan mudah kerajaan nak guna dana awam begitu sahaja.
"Kalau pihak berkuasa mahu masuk siasat, itu terpulang mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada, itu kerja dialah. Kita sebagai pemimpin tidak boleh mendengar laporan tidak rasmi, kena tunggu penjelasan dan laporan rasmi baru kita boleh ulas," katanya lagi.
Sebelum ini, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menjadi mangsa penipuan terancang antarabangsa melibatkan pelaburan bernilai hampir RM200 juta dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery.
Skandal ini terbongkar apabila pengurusan syarikat tersebut didapati memanipulasi laporan kewangan yang turut menipu dana pelaburan utama lain di seluruh dunia.