Calon DUN Pilah fokus kebajikan warga emas, peluang kerja untuk anak muda

Iklan
Noorzunita (dua dari kanan) beramah mesra dengan pengundi sekitar Melang, Kuala Pilah.

KUALA PILAH – Peluang pekerjaan untuk golongan muda dan kebajikan warga emas selepas bersara menjadi antara fokus pembangunan lima tahun yang dirancang Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim sekiranya diberi mandat mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan pembangunan yang dirancang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat daripada golongan muda hingga warga emas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara keutamaan ialah menarik lebih banyak pelaburan ke Kuala Pilah bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, sekali gus mengurangkan penghijrahan anak muda ke daerah atau negeri lain.

"Apabila peluang pekerjaan tersedia, anak-anak muda tidak lagi perlu berhijrah ke luar untuk mencari rezeki, sebaliknya dapat membina kehidupan dan menyumbang kepada pembangunan di daerah sendiri," katanya ketika ditemui pada kempen PRN Negeri Sembilan di sini pada Isnin.

Iklan

Kerusi DUN Pilah menyaksikan pertembungan dua calon wanita apabila penyandang, Noorzunita dicabar S Leza Md Yasin daripada Barisan Nasional (BN) pada PRN Negeri Sembilan ke-16.

Noorzunita berkata, kemasukan pelaburan yang bersesuaian bukan sahaja mampu membuka peluang pekerjaan malah merancakkan ekonomi setempat dan memberi limpahan manfaat kepada daerah berhampiran.

Iklan

Selain golongan muda, Noorzunita berkata, kebajikan warga emas, khususnya mereka yang tidak mempunyai pencen selepas bersara turut memerlukan perhatian lebih serius.

"Berdasarkan pengalaman berkhidmat sebagai wakil rakyat sejak hampir tiga tahun lalu, masih terdapat warga emas yang berdepan kesukaran meneruskan kehidupan selepas tamat tempoh perkhidmatan.

"Golongan ini memerlukan perhatian sewajarnya. Kita perlu meneliti bentuk bantuan dan inisiatif yang sesuai supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik selepas bersara," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kuala Pilah telah menikmati pelbagai pembangunan sejak pentadbiran di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018.

Menurutnya, antara pembangunan yang menjadi mercu tanda daerah itu ialah Dataran Melang, Pilah Gateway termasuk pemasangan skrin LED gergasi yang merupakan antara manifesto kerajaan negeri yang berjaya direalisasikan.

"Kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap penyelenggaraan jalan di kawasan kampung dan menambah baik kemudahan kesihatan menerusi pembinaan bangunan baharu Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

"Saya berharap segala perancangan pembangunan yang telah dirangka dapat diteruskan bagi memastikan Kuala Pilah terus berkembang sebagai daerah yang maju, sejahtera dan harmoni," katanya.