SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad menegaskan bekas Perdana Menteri itu tidak pernah melupakan jasa UMNO dan Pas, namun mengingatkan bahawa sejarah turut mencatat UMNO sebagai parti yang menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2021.
Beliau berkata, perkara itu pernah didedahkan oleh Tan Sri Annuar Musa sebelum 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
"Ketika Ahli-Ahli Parlimen UMNO sedang memegang jawatan sebagai menteri dalam Kabinet, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN menulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan semua Ahli Parlimen BN termasuk UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
"Walaupun UMNO yang menjatuhkan Muhyiddin, beliau mencadangkan dan menyokong seorang pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri demi kelangsungan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang selepas itu dinamakan Kerajaan Keluarga Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau mengulas ingatan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin terhadap Muhyiddin untuk tidak menuduh Pas sebagai 'toksik' berikutan parti itu dan UMNO antara yang menyokong pelantikannya sebagai Perdana Menteri suatu ketika dahulu.
Marzuki berkata, menteri UMNO serta Pas kekal di dalam Kabinet dan Hamzah juga mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri atas sokongan Muhyiddin.
"Jika tidak, Pakatan Harapan telah pun menjadi kerajaan pada waktu itu. Namun, madu yang diberikan oleh Muhyiddin dibalas dengan tuba.
"Sejurus selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, gerakan untuk menjatuhkan beliau sebagai Pengerusi PN dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah bermula," ujarnya.
Beliau mendakwa usaha itu diketuai Hamzah dengan sokongan dan galakan pemimpin Pas.
"Dari saat itulah bermulanya PN menjadi toksik. Yang ini saya tidak akan lupa. Jadi, tidak perlulah mengungkit siapa yang menaikkan siapa.
"Hakikatnya, yang menaikkan jugalah yang menjatuhkan. Plot cerita naik-menaik dan jatuh-menjatuh ini masih sedang berlaku dengan begitu hebat pada waktu catatan ini ditulis.
"Watak-wataknya masih orang-orang yang sama. Kita tunggu dan lihat sahaja," katanya.
Marzuki menyifatkan episod berkenaan sebagai pengajarannya bahawa tidak seharusnya terlalu ghairah apabila diangkat kerana pihak yang sama juga menjadi penyebab kejatuhan seseorang itu.