Bersatu kian tidak relevan, hadapi krisis identiti

Iklan
Mohamad Faisol (gambar kecil) berkata, pengundi harus menilai parti yang benar-benar mampu membentuk kerajaan, menyediakan kepimpinan yang stabil dan melaksanakan tawaran selepas pilihan raya.

PERKEMBANGAN politik mutakhir menunjukkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang berhadapan krisis identiti, kelemahan organisasi, kemerosotan pengaruh serta kegagalan membuktikan bahawa ia mempunyai akar umbi dan jentera pilihan raya yang mampu berdiri sendiri.

Pada peringkat awal, kepimpinan Bersatu Negeri Sembilan menyatakan parti itu akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos melalui platform Perikatan Nasional (PN).

Iklan
Iklan

Begitupun, hanya beberapa hari sebelum penamaan calon, Bersatu mengubah pendirian dan memutuskan untuk menggunakan lambangnya sendiri selepas mendakwa tidak dilibatkan secara sewajarnya dalam rundingan pembahagian kerusi.

Dalam masa yang sama, BN dan PN mencapai persefahaman untuk mengelakkan pertembungan. BN bertanding di 25 kerusi manakala PN mengisi baki 11 kerusi.

Iklan

Akibatnya, Bersatu yang masih mendakwa kekal sebagai anggota PN kini bertanding menentang calon-calon PN di beberapa kawasan.

Pada satu pihak, Bersatu mengatakan ia masih berada dalam PN. Pada pihak lain, presidennya mengumumkan rancangan untuk membentuk gabungan baharu selepas PRN Negeri Sembilan.

Iklan

Percanggahan ini memperlihatkan sebuah parti yang tidak lagi mempunyai kedudukan jelas dalam gabungan yang pernah diasaskannya sendiri.

Bersatu mengemukakan 24 calon dalam PRN Negeri Sembilan berbanding PH yang bertanding di semua 36 kerusi, BN di 25 kerusi dan PN di 11 kerusi.

Daripada 24 calon Bersatu itu, dua sebenarnya ialah wakil Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia atau URIMAI yang dipinjamkan lambang Bersatu untuk bertanding di Mambau dan Seremban Jaya.

Pada hari penamaan calon pula, calon-calon Bersatu tampil dengan bilangan penyokong yang kecil. Kehadiran mereka tenggelam di tengah-tengah jentera BN, PN dan PH yang lebih tersusun.

Parti itu mungkin mempunyai calon, tetapi calon tanpa petugas, rangkaian tempatan dan penyokong yang mampu digerakkan hanyalah nama di atas kertas undi.

Ukuran paling jelas terhadap kekuatan sebenar Bersatu ialah keputusan PRN Johor. Johor sepatutnya menjadi negeri paling sesuai untuk Bersatu membuktikan pengaruhnya.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berasal dari Muar, pernah menjadi Menteri Besar Johor dan telah lama menjadi Ahli Parlimen Pagoh. Bersatu Johor juga dipimpin oleh bekas Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Namun begitu, kelebihan sejarah, tokoh dan lokasi itu gagal diterjemahkan kepada kemenangan. Dalam PRN Johor, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi manakala PH memperoleh baki lapan kerusi.

Semua 16 calon Bersatu mengalami kekalahan teruk dengan majoriti kehilangan wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu per lapan daripada keseluruhan undi.

Kekalahan paling simbolik berlaku kepada Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, di DUN Bukit Kepong yang terletak dalam kawasan Parlimen Pagoh. Sahruddin ialah penyandang dua penggal, bekas Menteri Besar Johor dan pemimpin utama Bersatu negeri.

Pada PRN Johor 2022, beliau mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 710 undi. Dalam PRN 2026, beliau hanya memperoleh 5,625 undi, berbanding calon BN, Ahmad Syar’e Yusof, yang memperoleh 16,386 undi. Sahruddin tewas dengan majoriti besar 10,761 undi.

Daripada kemenangan tipis kepada kekalahan lebih 10,000 undi dalam tempoh satu penggal, itulah ukuran sebenar kemerosotan Bersatu.

Jika Ketua Bersatu Johor sendiri boleh kalah begitu teruk di kawasan dalam Parlimen Pagoh, kubu politik presidennya, atas dasar apakah Bersatu mahu meyakinkan rakyat bahawa parti itu mempunyai kekuatan lebih besar di Negeri Sembilan?

Keputusan Johor membuktikan jenama Bersatu tidak mempunyai daya tarikan tersendiri apabila tidak lagi mendapat manfaat daripada gelombang politik, kekuatan Pas atau sentimen terhadap lambang PN.

Apabila terpaksa bergantung pada jentera sendiri, kelemahan organisasi dan akar umbinya segera terserlah.

Dalam keadaan semakin terpinggir daripada PN, Bersatu kini mahu membentuk gabungan baharu bersama parti-parti yang bernaung di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk PUTRA dan URIMAI.

Muhyiddin sendiri mengumumkan bahawa perbincangan sedang dilakukan untuk membentuk gabungan tersebut sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.

Namun begitu, kerjasama itu menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Bersatu mendakwa membawa perjuangan Melayu dan Bumiputera yang sederhana.

PUTRA pula sering dikaitkan dengan pendekatan nasionalisme Bumiputera yang lebih keras. URIMAI pula dibentuk dengan tumpuan terhadap hak serta kepentingan masyarakat India.

Inilah kemuncak kecelaruan Bersatu. Ia mahu mempertahankan imej parti Melayu sederhana tetapi bekerjasama dengan kelompok yang membawa politik ekstrem.

Berdasarkan prestasi di Johor, pergolakan dalam PN, kelemahan calon dan kebergantungan kepada parti-parti kecil, Bersatu langsung tidak mempunyai laluan realistik untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan.

Undi kepada Bersatu hanya boleh berfungsi sebagai undi pemecah yang memberikan kemenangan kepada pihak yang sebenarnya tidak dikehendaki oleh pengundi.

Tidak dinafikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai pengalaman dan jasa kepada Johor serta negara. Namun begitu, pilihan raya bukan medan untuk membalas jasa seseorang pemimpin dengan memberikan undi tanpa menilai kemampuan parti yang dipimpinnya.

Sejarah politik tidak boleh menjadi alasan untuk mengekalkan sebuah parti yang semakin kehilangan arah. Penghormatan terhadap jasa lalu tidak bermakna rakyat perlu terus memberikan talian hayat politik pada masa kini.

Melihat kepada kelemahan calon, kekurangan jentera, ketiadaan gelombang penyokong dan pertandingan berbilang penjuru, besar kemungkinan hampir semua calon Bersatu akan kehilangan deposit dalam PRN ini.

Pengundi harus menilai parti yang benar-benar mampu membentuk kerajaan, menyediakan kepimpinan yang stabil dan melaksanakan tawaran selepas pilihan raya.

Usah dibazirkan undi kepada sebuah parti yang semakin hilang pengaruh, kedudukan dan relevansi.

*Penulis ialah Pensyarah Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)