KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya dalam mendapatkan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa pasukan pembelaan Zizie Izzete, 48, berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu berdasarkan keterangan dan hujahan kedua-dua pihak serta autoriti yang dikemukakan.
Sebaik keputusan dibacakan, Zizie Izette menangis teresak-esak dan turut menekup mukanya kerana telalu sebak sebelum ditenangkan seorang ahli keluarganya.
Usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof yang hadir memberi sokongan kepada Zizie Izette dengan ditemani suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar di galeri awam, turut sama menangis sejurus keputusan itu diumumkan.
Dalam alasan penghakiman, Rosli berkata, pihak pendakwaan perlu membuktikan semua elemen penting kesalahan utama yang didakwa dilakukan Bung Moktar yang juga bekas Ahli Parlimen Kinabatangan sebelum pertuduhan bersubahat terhadap Zizie Izzete boleh dibuktikan.
Beliau menegaskan, pertuduhan terhadap Bung Moktar telah ditarik balik selepas kematiannya pada 5 Disember tahun lalu menyebabkan pihak pendakwaan tidak lagi dapat membuktikan elemen bersubahat.
“Memandangkan mahkamah ini telah memberikan perintah perlepasan dan pembebasan terhadap si mati sebagai pesalah utama, maka berdasarkan autoriti yang disebutkan di atas tertuduh yang dituduh bersubahat dengan si mati dengan cara konspirasi, sepatutnya didapati tidak bersalah dan wajar dibebaskan,” katanya.
Rosli turut mendapati keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan menunjukkan bahawa Zizie Izette tidak mengetahui mengenai pelaburan yang dipersoalkan itu.
Beliau mengambil maklum bahawa Mahkamah Tinggi pada September 2023 mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang mendapati kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadap Bung Moktar dan Zizie Izette.
Rosli menambah, mengenai wang RM2.8 juta yang didakwa diterima sebagai suapan pula, pihak pembelaan secara konsisten menegaskan bahawa bayaran itu merupakan yuran pengenalan dan bukannya rasuah, oleh itu ia selaras dengan keterangan saksi pendakwaan, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.
Ekoran itu, beliau berkata, pasukan pendakwaan gagal membuktikan satu kes yang melampaui keraguan munasabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perenggan 173(m)(i) Kanun Acara Jenayah (KAJ).
“Oleh yang demikian, mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan pindaan di bawah Perenggan 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan bagi ketiga-tiga pertuduhan pindaan ini," kata beliau lagi.
Rosli memaklumkan, jaminan turut dibatalkan dan dipulangkan kepada penjamin serta pasport dipulangkan kepada pemilik dengan syarat tambahan juga dibatalkan.
Sepanjang prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohd Fadhly Mohd Zamry manakala Zizie Izette diwakili peguam-peguam K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.
Mohd Fadhly bagaimanapun berkata, pihaknya belum memutuskan untuk merayu keputusan itu dan akan menunggu arahan seterusnya dari Peguam Negara.
Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada Madhi iaitu ejen pelaburan Public Mutual Berhad.
Zizie Izatte dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.
Dalam pertuduhan ketiga pula, wanita itu dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.
Zizie Izette didakwa melakukan semua kesalahan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Jika sabit kesalahan, pelakon itu berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini telah melepaskan dan membebaskan Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Bung Moktar yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025.