NEW YORK - Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke perlawanan akhir Piala Dunia FIFA antara Sepanyol dan Argentina pada Ahad menyebabkan ribuan penyokong, petugas media dan kakitangan berdepan kelewatan memasuki stadium susulan kawalan keselamatan yang dipertingkatkan.
FIFA sebelum itu mengeluarkan notis kepada petugas media supaya hadir seawal enam jam sebelum perlawanan bermula selain memaklumkan beberapa laluan ke Stadium New York New Jersey akan ditutup kira-kira 150 minit sebelum perlawanan.
Pemeriksaan keselamatan yang turut melibatkan ejen Perkhidmatan Rahsia AS turut menyebabkan barisan panjang terbentuk di pintu masuk stadium berkapasiti 80,000 penonton itu.
Menurut laporan, wartawan Al Jazeera terpaksa menunggu hampir dua jam untuk melepasi pemeriksaan keselamatan awal, manakala beberapa petugas media lain yang tiba lebih awal dilaporkan menunggu lebih tiga jam.
Helikopter yang membawa Trump turut dilaporkan mendarat berhampiran stadium ketika ribuan penyokong masih beratur untuk menjalani pemeriksaan keselamatan.
Keadaan bertambah tegang apabila terdapat petugas media yang dinafikan kemasukan walaupun memiliki akreditasi rasmi kejohanan.
Malah, kerosakan pada pengimbas tiket turut memburukkan keadaan apabila ramai penyokong terpaksa menunggu lebih lama dalam cuaca panas.
Beberapa petugas media lain turut diarahkan ke pusat akreditasi stadium selepas gagal melepasi pemeriksaan keselamatan.
Situasi sama turut dialami penyokong apabila ramai melaporkan tempoh menunggu melebihi dua jam meskipun FIFA telah menasihatkan pemegang tiket supaya hadir sekurang-kurangnya empat jam sebelum perlawanan bermula.
Bagaimanapun, kira-kira 45 minit sebelum perlawanan mula, sebahagian besar tempat duduk di bahagian bawah stadium termasuk kawasan penyokong kedua-dua pasukan dilihat hampir penuh.
Ini bukan kali pertama kejohanan bola sepak utama di AS berdepan masalah logistik.
Pada final Copa America 2024 di Miami Gardens, Florida, sepak mula terpaksa ditangguhkan kira-kira 75 mini.
Situasi itu berlaku selepas petugas keselamatan gagal mengawal kemasukan penyokong, sekali gus menyaksikan sejumlah individu tanpa tiket merempuh pintu masuk stadium sebelum keadaan berjaya dikawal pihak berkuasa.-Agensi