GEORGETOWN (GUYANA) - Sekurang-kurangnya 67 individu berjaya diselamatkan, namun puluhan lagi masih hilang selepas sebuah feri yang membawa 133 penumpang dan kru karam di perairan Guyana pada Sabtu, menurut laporan The Guardian.
Pihak berkuasa Guyana memaklumkan setakat Ahad, seramai 67 mangsa berjaya diselamatkan termasuk 15 kanak-kanak, manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan baki mangsa yang hilang.
Feri MV Barima yang membawa 116 penumpang dan 17 kru berlepas dari Georgetown menuju ke Port Kaituma sebelum terbalik berhampiran Iron Punt.
Menteri Kerja Raya Guyana, Juan Edghill berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.01 malam waktu tempatan sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan bantuan Pengawal Pantai, Tentera Udara, bot nelayan, pesawat persendirian dan sukarelawan.
Sementara itu, Perdana Menteri Guyana, Mark Phillips berkata, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 41 lelaki, 11 wanita dan 15 kanak-kanak termasuk kapten feri yang kemudian kembali ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat.
Menurutnya, kawasan pencarian turut diperluaskan daripada 400 kilometer persegi kepada 1,070 kilometer persegi dengan penambahan aset udara dan laut.
Edghill berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu bukan berpunca daripada kerosakan enjin atau lebihan muatan.
"Feri itu beroperasi mengikut had yang dibenarkan. Kejadian dipercayai berlaku akibat keadaan air pasang," katanya.
Beliau berkata, MV Barima diperakui membawa sehingga 397 penumpang dan 284 tan kargo, namun ketika kejadian hanya membawa 268 tan kargo.
Feri berkenaan turut dilengkapi 250 jaket keselamatan, dua bot penyelamat dan enam rakit keselamatan.
Beberapa mangsa yang terselamat menceritakan detik cemas apabila feri itu mula senget beberapa jam sebelum terbalik dalam keadaan gelap.
Seorang mangsa, Adam Matabheek berkata, dia sempat mencapai jaket keselamatan sebelum hanyut di laut sepanjang malam bersama isterinya, Carlita Matabheek dan adiknya, Nathaniel.
Bagaimanapun, isteri Nathaniel bersama tiga anak mereka yang masing-masing berusia lapan, lima dan tiga tahun masih belum ditemui.
Pihak berkuasa memaklumkan usaha mengesan semua mangsa diteruskan, manakala pusat bantuan turut dibuka bagi membantu keluarga penumpang dan kru yang terlibat. - Agensi