NEW DELHI - Seorang lelaki berusia 42 tahun meninggal dunia kira-kira tiga jam selepas sebuah kipas siling terjatuh dan menghempapnya ketika menerima rawatan di Hospital Guru Teg Bahadur (GTB), Delhi, India.
NDTV melaporkan, saksi memaklumkan kipas siling itu tiba-tiba tercabut dan menghempap bahagian abdomen mangsa yang sedang terbaring di atas katil wad sekitar jam 9.30 malam Sabtu.
Mangsa kemudian diberikan rawatan segera oleh kakitangan hospital, namun meninggal dunia pada petang Ahad, selepas insiden berkenaan.
Bagaimanapun, pihak hospital menegaskan kematian mangsa bukan berpunca daripada insiden tersebut, sebaliknya disebabkan keadaan kesihatannya yang sedia ada.
Mangsa dilaporkan dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat tekanan darah tinggi tidak terkawal, strok, selain mengalami pneumonia aspirasi dan kegagalan pernafasan.
Hospital turut memaklumkan pemeriksaan awal mendapati batang penyambung kipas patah sehingga menyebabkan kipas itu terjatuh.
Seorang peguam, Aslam Qureshi yang mendakwa menyaksikan kejadian berkata, kipas itu jatuh tepat ke atas pesakit, sekali gus menafikan dakwaan bahawa ia menghempap seorang jururawat.
Keluarga mangsa menuntut siasatan menyeluruh kerana mendakwa kejadian itu menunjukkan kelemahan serius dari segi penyelenggaraan dan keselamatan pesakit.
Beberapa waris pesakit turut mendakwa banyak pendingin hawa di wad berkenaan tidak berfungsi, menyebabkan kipas siling menjadi sumber pengudaraan utama.
Pihak hospital memaklumkan pasukan penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya segera menggantikan kipas yang rosak dan akan menjalankan siasatan terperinci.
Hospital turut mendakwa pemeriksaan selepas kejadian tidak menemukan sebarang kecederaan luaran pada mangsa dan menegaskan tiada pesakit, waris atau petugas kesihatan mengalami kecederaan serius akibat insiden itu. - Agensi