PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerima sorakan boo daripada penyokong ketika menghadiri majlis penyerahan trofi selepas final Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Sepanyol, awal pagi Isnin.
Trump bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino turun ke padang untuk menyampaikan trofi kepada juara, Sepanyol selepas kemenangan 1-0 La Roja ke atas Argentina.
Namun, kehadiran kedua-dua tokoh itu tidak mendapat sambutan apabila penyokong di Stadium New York New Jersey memberikan sorakan boo ketika mereka berada di atas pentas.
Sebelum perlawanan bermula, Trump turut menerima reaksi sama apabila wajahnya dipaparkan seketika di skrin besar stadium selepas persembahan lagu kebangsaan AS.
Menurut laporan media, Trump menyaksikan aksi final dari ruang khas yang dilindungi kaca bersama Infantino, Presiden Mexico Claudia Sheinbaum, Perdana Menteri Kanada Mark Carney serta beberapa pegawai pentadbiran dan anggota keluarganya.
Trump sebelum ini turut mencetuskan perhatian sepanjang kejohanan apabila meminta Infantino menilai semula hukuman kad merah terhadap penyerang skuad AS, Folarin Balogun dalam aksi pusingan 32 menentang Bosnia dan Herzegovina.
FIFA kemudian mencetuskan kontroversi apabila menggantung hukuman penggantungan satu perlawanan terhadap Balogun, sekali gus membolehkannya beraksi sebelum AS tersingkir selepas dibelasah Belgium 4-1.
Walaupun tidak hadir pada perlawanan terdahulu Piala Dunia 2026, Trump sebelum ini kerap muncul dalam beberapa acara sukan utama sejak penggal kedua pemerintahannya termasuk Final NBA, Daytona 500 dan Super Bowl.