Dunia gesa bebaskan Dr Hussam Abu Safiya

Iklan
Nasib beliau yang dipenjarakan Israel semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa sejak konflik di Genting Gaza memuncak. - Foto Agensi

NAMA Dr Hussam Abu Safiya semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa sejak konflik di Genting Gaza memuncak, bukan sahaja kerana peranannya sebagai Beliau bukan sahaja dikenali sebagai Pengarah Hospital Kamal Adwan di utara wilayah itu malah sebagai figura yang teguh berkhidmat merawat pesakit meskipun berdepan suasana peperangan yang berpanjangan.

Doktor berusia 53 tahun itu dianggap sebagai lambang ketabahan petugas kesihatan Palestin yang terus menjalankan tanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa meskipun berdepan kekurangan ubat-ubatan, bekalan elektrik, peralatan perubatan dan ancaman keselamatan setiap hari.

Iklan
Iklan

Abu Safiya merupakan pakar pediatrik dan neonatologi yang telah lama berkhidmat dalam sistem kesihatan Palestin.

Beliau dilahirkan di Kem Pelarian Jabalia di utara Gaza, sebuah kawasan yang menjadi penempatan ribuan keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal selepas penubuhan negara haram Israel pada 1948.

Iklan

Sepanjang kerjayanya, beliau dikenali sebagai doktor yang memberi tumpuan kepada rawatan bayi baru lahir dan kanak-kanak selain sering terlibat dalam pengurusan hospital ketika krisis kemanusiaan melanda Gaza.

Terus berkhidmat di tengah-tengah perang

Iklan

Selepas perang semakin memuncak sejak Oktober 2023, Hospital Kamal Adwan menjadi antara kemudahan kesihatan terakhir yang masih beroperasi.

Penunjuk perasaan membawa plakad memaparkan potret Abu Safiya ketika perhimpunan solidariti di Ramallah. - Foto AFP

Hospital berkenaan dibanjiri pesakit yang cedera akibat serangan termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Namun, operasi hospital berdepan pelbagai cabaran apabila bekalan semakin berkurangan akibat sekatan rejim Zionis.

Meskipun situasi kian genting, Abu Safiya bersama pasukan perubatannya memilih untuk terus berkhidmat bagi memastikan rawatan kecemasan dapat diteruskan.

Keputusan beliau untuk tidak berganjak dari hospital walaupun menerima arahan pemindahan menjadikan namanya semakin dikenali di seluruh dunia.

Menerusi rakaman video dan kenyataan kepada media antarabangsa, beliau berulang kali merayu agar komuniti dunia campur tangan bagi melindungi hospital dan orang awam yang menjadikan kemudahan itu sebagai tempat berlindung daripada hujan bom bertalu-talu.

Rayuan tersebut akhirnya mendapat perhatian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan petugas kesihatan di Gaza.

Konflik itu turut memberi kesan mendalam kepada kehidupan peribadinya.

Salah seorang anak lelakinya dilaporkan terkorban berhampiran kawasan Hospital Kamal Adwan ketika tentera Israel terus menggempur wilayah tersebut.

Walaupun berdepan kehilangan besar, Abu Safiya dilaporkan tetap meneruskan tugas merawat pesakit tanpa mengenal erti penat dan lelah.

Beliau beberapa kali menegaskan bahawa tanggungjawab seorang doktor adalah untuk menyelamatkan nyawa tanpa mengira keadaan, walaupun mengancam diri sendiri.

Ditahan sejak Disember 2024

Pada akhir Disember 2024, tentera Israel melancarkan serbuan ganas di Hospital Kamal Adwan.

Abu Safiya (tengah) menyelia rawatan terhadap seorang mangsa yang cedera akibat serangan Israel di Beit Lahia pada November 2024. - Foto AFP

Dalam operasi tersebut, Abu Safiya ditahan, manakala sejumlah kakitangan perubatan bersama individu lain turut dibawa keluar dari kawasan hospital.

Sejak penahanan itu, pelbagai organisasi antarabangsa termasuk agensi di bawah PBB dan kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan beliau.

Baru-baru ini, Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Ibrahim Khraishi, menerusi surat kepada beberapa badan dan organisasi kemanusiaan antarabangsa menggesa campur tangan segera komuniti antarabangsa bagi memastikan pembebasan Abu Safiya.

Menurut Khraishi, maklumat yang diterima menunjukkan keadaan Abu Safiya semakin membimbangkan sehingga dikhuatiri boleh mengancam nyawanya sekiranya tidak diberikan rawatan segera dan dibebaskan daripada tahanan. - Agensi