ANARE - Venezuela masih berusaha pulih selepas dilanda gempa bumi dahsyat bulan lalu, namun sebuah pekan kecil terselamat tanpa mengalami sebarang kerosakan.
Dua gegaran kuat pada 24 Jun lalu mengorbankan lebih 5,000 nyawa dan menyebabkan ratusan bangunan di negeri pesisir La Guaira runtuh.
Tetapi, pekan Anare yang terletak kira-kira 30 kilometer di timur bandar La Guaira, kekal utuh tidak terusik langsung akibat bencana dahsyat tersebut.
Kira-kira 4,000 penduduk Anare turut merasai gegaran 7.2 dan 7.5 skala Richter, namun rumah-rumah mereka yang dibina di kawasan lereng bukit tetap berdiri teguh.
"Pekan ini masih bernyawa," kata jurulatih luncur ombak dan nelayan, Daniel Lozada, 18.
Dia bersama dua rakannya menjalani kehidupan seharian seperti biasa, seolah-olah tidak terkesan dengan tragedi yang berlaku.
Keadaan tenang itu nyata berbeza dengan kawasan terjejas gempa, kira-kira sejam perjalanan dari pekan tersebut.
Di bandar La Guaira, utara Caracas, pasukan penyelamat dan keluarga mangsa masih tidak putus asa menggali runtuhan bangunan untuk mencari ribuan mangsa yang terperangkap.
Anare kini menjadi tempat perlindungan kepada mangsa yang terselamat sama seperti ketika tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 1999.
Ribuan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bagaimanapun terpaksa berlindung di kem-kem penempatan sementara dengan ketiadaan kemudahan asas.
Lozada dan rakan-rakannya yang mencari rezeki di jeti kini bimbang dengan masa depan industri pelancongan susulan kesan gempa bumi tersebut.
Henry Romero, 65, mengimbau kehidupan yang dibina selama ini dengan bergantung kepada hasil laut serta sektor pelancongan di kawasan yang dianggapnya sebagai"tempat yang aman dan mendamaikan".
Namun, perniagaan rumah tamu yang diusahakannya sejak bersara kini tidak menentu apabila kesan bencana itu berpotensi menjejaskan kunjungan pelancong ke kawasan berkenaan.
Bagi Jose Izaguirre, 40, pengalaman berdepan bencana di La Guaira bukan sesuatu yang asing selepas bertahun-tahun hidup di kawasan berkenaan.
“Kami tidak akan meninggalkan tempat ini. Anare adalah pekan yang diberkati. Walaupun pelbagai bencana melanda kawasan lain, tempat ini tetap dilindungi,” katanya. - AFP
Info:
>Angka korban bencana itu telah meningkat kepada 5,119 orang dengan sebahagian besar kematian direkodkan di kawasan pesisir.
>Jumlah mangsa cedera pula seramai 16,740 orang.
>Presiden interim, Delcy Rodriguez memaklumkan pemerintah akan mendapatkan akses peruntukan tersedia berjumlah AS$346 juta (RM1.42 bilion) daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk usaha pemulihan pasca gempa.
>Kira-kira 20,000 penduduk yang hilang tempat tinggal kini berlindung di kem-kem penempatan sementara yang sesak tanpa kelengkapan asas. Lebih 1,300 gempa susulan turut direkodkan.