Kemas perkasa pendidikan Islam

Iklan
Ahmad Zahid (dua kanan) hadir merasmikan program berkenaan di Felda Palong 8, Jempol pada Sabtu.

JEMPOL – Lebih 225,000 kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara telah mengikuti program penghafalan Juzuk 30 sejak diperkenalkan tiga tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini tiada kelas khusus seperti itu, namun Kemas mengambil inisiatif memperkenalkannya atas kesedaran bahawa pendidikan Islam perlu diterapkan sejak usia muda.

Iklan
Iklan

“Pendekatan berkenaan selaras dengan pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ bagi membentuk generasi yang kukuh dengan asas agama.

“Alhamdulillah, sehingga kini lebih 225,000 anak-anak Tabika Kemas di seluruh negara telah mengikuti program penghafalan Juzuk 30 sejak ia diperkenalkan tiga tahun lalu,” katanya ketika berucap semasa Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) Peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8 di sini pada Sabtu.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Kemas turut memperkenalkan pembelajaran pintar (Smart Learning) berasaskan teknologi bagi memastikan kaedah pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta selari dengan perkembangan semasa.

Dalam pada itu beliau berkata, Johor dan Pahang telah melaksanakan hampir 100 peratus rumah generasi kedua dan ketiga Felda.

Iklan

Menurutnya, usaha sama akan diteruskan bagi memastikan kemudahan berkenaan diperluaskan ke negeri lain.

Ahmad Zahid (tengah) bersama peserta talik tali.

“Dua negeri yang telah melaksanakan hampir 100 peratus ialah Johor dan Pahang. Negeri Sembilan belum lagi” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Program GEMA@KKDW Negeri Sembilan yang merupakan siri kedua pelaksanaannya dengan siri pertama dilaksanakan di Kota Tinggi, Johor.

Pelaksanaan GEMA@KKDW memberi penekanan kepada pendekatan turun padang yang lebih dekat dengan rakyat, sekali gus memastikan setiap dasar, program dan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat luar bandar.

Inisiatif tersebut bermatlamat mencetuskan gelombang positif di peringkat akar umbi melalui sinergi pelbagai program dalam ekosistem KKDW dengan penglibatan kementerian dan jabatan lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor korporat selain bertujuan memperkukuh jaringan kerjasama, meningkatkan kesejahteraan komuniti dan memastikan kehadiran kepimpinan kerajaan.

Program yang dinanti-nanti penduduk

Pelbagai aktiviti menarik, perkhidmatan kerajaan dan jualan usahawan tempatan yang menghimpunkan kehadiran penduduk menjadikan program berkenaan antara yang dinanti-nantikan masyarakat luar bandar, khususnya komuniti Felda.

Antara peserta yang menyertai program rewang pada program berkenaan yang manis berpakaian kurung Kedah.

Penduduk Felda Palong 13, Norliana Mohd Hashim, 44, berkata, program tersebut bukan sahaja menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan.

Menurutnya, anaknya turut menyertai pertandingan mewarna anjuran Tabika Kemas Palong 12, manakala gerai jualan yang disediakan menawarkan pelbagai pilihan kepada pengunjung.

“Bagi saya program ini memang bagus untuk semua. Anak saya dapat sertai aktiviti mewarna, manakala jualan pun meriah dengan pelbagai barangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi pengunjung dari Felda Palong 15, Hayati Harun, 38, berkata, program seumpama itu wajar diteruskan kerana memberi peluang kepada penduduk luar bandar menikmati pelbagai perkhidmatan dan aktiviti di kawasan mereka sendiri.

“Program macam ini memang bagus untuk rakyat. Harap ia dapat diteruskan lagi pada masa akan datang kerana banyak manfaat yang boleh dinikmati penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Endang Wenarni Sujarno, 40, dari Felda Palong 15 berkata, program berkenaan amat membantu penduduk Felda yang berdepan kesukaran untuk ke bandar bagi mendapatkan perkhidmatan atau menghadiri program tertentu.

“Ada dalam kalangan kami agak sukar untuk keluar ke bandar. Jadi apabila program seperti ini diadakan di kawasan kami, banyak manfaat yang boleh diperoleh dalam satu tempat,” katanya.