'Penumpang misteri' rupa-rupanya mayat wanita

Iklan
Siasatan mendapati wanita terbabit telah meninggal dunia beberapa jam sebelum mayatnya ditemui, namun tiada kecederaan luaran atau tanda-tanda berlaku serangan- Foto: Agensi

BANGKOK - Seorang lelaki berusia 61 tahun di Thailand terkejut selepas menemui mayat wanita tidak dikenali di tempat duduk belakang keretanya.

Kejadian itu berlaku ketika individu tersebut yang dikenali sebagai Chanasin memandu ke gerai daging diusahakannya di Pasar Samrong, Samut Prakan pada minggu lalu.

Iklan
Iklan

Dia meletakkan kereta sedan Nissan hitam miliknya di luar kondominium di Soi Wat Dan pada malam sebelum penemuan 'penumpang tidak diundang itu'.

Menurut Chanasin, sistem kunci keretanya mengalami kerosakan dan tidak boleh dikunci.

Iklan

"Saya tidak menyedari sebarang perkara mencurigakan. Ketika cuba mengambil beg di tempat duduk penumpang hadapan, terasa seperti ada sesuatu menyentuh belakang saya.

"Apabila menoleh ke belakang, saya terlihat sesuatu seperti kaki manusia. Rupa-rupanya seorang wanita yang sudah tidak bernyawa," jelasnya.

Iklan

Chanasin kemudiannya melaporkan insiden itu kepada Balai Polis Samrong Tai yang bergegas ke lokasi kejadian di pintu masuk Tokong Chao Pho Thap Samrong.

Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai berusia dalam lingkungan antara 60 dan 70 tahun serta tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

Penyiasat percaya wanita tersebut telah meninggal dunia beberapa jam sebelum mayatnya ditemui, namun tiada kecederaan luaran atau tanda-tanda berlaku serangan.

Chanasin menjelaskan dia tidak pernah mengenali wanita itu dan menafikan sebarang penglibatan dalam kematiannya.

Dia membuat spekulasi mangsa mungkin masuk ke dalam keretanya yang tidak berkunci ketika kenderaan itu diparkir untuk berteduh daripada hujan atau berehat sebelum meninggal dunia akibat masalah kesihatan.

Mayat wanita itu telah dihantar ke Institut Sains Forensik Pusat untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian. - Agensi