SHAH ALAM - Bahang Sukan Malaysia (SUKMA) semakin dirasai apabila Larian Obor SUKMA ke-22 bakal melengkapkan perjalanan ke tiga lokasi terakhir selepas berjaya menjelajah sembilan lokasi sebelum ini.
Acara tersebut bersempena siri jelajah Obor SUKMA menjelang pembukaan temasya sukan berkenaan di Selangor.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, sebagai tuan rumah, Selangor memberi penuh komitmen dalam persiapan SUKMA kali ini.
“Setakat ini kita sudah lalu sembilan lokasi dan tinggal tiga lagi.
"Minggu depan, kita akan ke Petaling Jaya, kemudian ke Kuala Langat dan terakhir ke Sepang,” katanya ketika Slot Teh Tarik Bersama Najwan sempena Program Riuh BOLA SINAR x redONE Mobile x RTM, berlangsung di Restoran Hakim pada Isnin.
SUKMA ke-22 Selangor dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 14 September tahun ini.
Sebelum ini, Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sekretariat SUKMA Selangor 2026 berkata, persiapan keseluruhan SUKMA Selangor 2026 melepasi tahap 90 peratus.
Tumpuan akhir diberikan kepada perancangan majlis perasmian yang dijangka diadakan sama ada di Dataran Kemerdekaan Shah Alam atau Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).
Kerajaan negeri turut memperkukuh persiapan menerusi penglibatan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), yang membelanjakan lebih RM50 juta bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sukan.
Dalam pada itu, Najwan mengingatkan golongan belia Selangor agar mengambil peluang meneroka bidang keusahawanan sebagai salah satu langkah menjana pendapatan.
"Anak-anak muda yang berniaga, yang minat berniaga, yang nak mulakan perniagaan, boleh mohon banyak program ataupun geran daripada Kerajaan Negeri.
"Antaranya Dana Usahawan MADANI Selangor untuk anak-anak ataupun mereka yang ada perniagaan kecil dan sederhana (SME). Kalau tak ambil peluang, rugilah," katanya.
Sementara itu, Program Riuh BOLA SINAR x redOne Mobile x RTM berlangsung bermula jam 5 petang hingga 5 pagi bersempena Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk cabutan bertuah, jualan Ehsan Rahmah, pertandingan serta pemberian hadiah kepada pengunjung, sekali gus menambahkan kemeriahan malam final Piala Dunia 2026.