SHAH ALAM - Pemilik Restoran Hakim di sini mengambil inisiatif menambah seramai 70 lagi pekerja bagi memastikan kelancaran operasi penyediaan makanan sempena Program Riuh BOLA SINAR x redOne Mobile x RTM yang berlangsung selama 12 jam sehingga awal pagi Isnin.
Pengarah Urusannya, Datuk Hakimsa Abdul Karim berkata, penambahan tenaga kerja itu dibuat khusus bagi memenuhi keperluan pengunjung yang dijangka hadir dalam jumlah besar, selain memastikan segala urusan berjalan lancar sepanjang acara berlangsung.
"Untuk malam kita bagi mereka kerja lebih masa. Kita bagi pekerja baju percuma untuk semarakkan aktiviti.
"Kita minta mereka jaga malam ini. Insya-ALLAH satu malam ini kita bagi khas," katanya kepada Sinar Harian.
Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan bekalan makanan dan minuman mencukupi bagi menampung permintaan pengunjung yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 secara langsung.
“Dari segi makanan, semuanya cukup. Kalau beribu orang datang pun insya-ALLAH mencukupi.
"Kita mahu semua pengunjung berpuas hati dengan hidangan dan kemudahan yang disediakan,” katanya.
Mengulas kerjasama bersama Sinar Harian, beliau berkata, hubungan baik yang terjalin sebelum ini menjadi antara sebab pihaknya meneruskan kerjasama berkenaan.
“Memang kita selesa bekerjasama dengan Sinar Harian. Sebab itu kita selalu buat kerjasama seperti ini," katanya.
Program Riuh BOLA SINAR x redOne Mobile x RTM berlangsung bermula jam 5 petang hingga 5 pagi.
Program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk cabutan bertuah, jualan Ehsan Rahmah, pertandingan serta pemberian hadiah kepada pengunjung, sekali gus menambahkan kemeriahan malam final Piala Dunia 2026.
Perlawanan akhir yang menemukan Sepanyol dan Argentina menjadi tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia, dengan penyokong kedua-dua pasukan tidak melepaskan peluang berkumpul bagi memberikan sokongan kepada pasukan pilihan masing-masing.
Jumlah pengunjung dijangka terus meningkat sehingga sepak mula perlawanan pada awal pagi Isnin, sekali gus mewujudkan suasana penuh semangat dan kemeriahan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.