SHAH ALAM - Kemeriahan program Riuh BOLA SINAR x redOne Mobile x RTM di Restoran Hakim, Seksyen 7, di sini pada Ahad dihiasi dengan bakat yang dipamerkan kanak-kanak menerusi pertandingan Ulas Bola Pro redOne Mobile.
Program itu menyaksikan peserta cilik berusia seawal tujuh tahun diberi peluang mengulas aksi perlawanan bola sepak berdasarkan paparan skrin secara spontan.
Acara itu secara langsung menguji kemahiran komunikasi, kreativiti dan keyakinan mereka di hadapan orang ramai.
Pertandingan tersebut berlangsung di pentas utama dengan peserta dibahagikan kepada tiga kategori iaitu tujuh hingga 12 tahun, 13 hingga 17 tahun dan 18 hingga 25 tahun.
Berdasarkan format pertandingan, peserta perlu mengulas aksi perlawanan yang dipaparkan menerusi siaran langsung permainan PS5 di skrin LED dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut kategori.
Bagi kategori kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, setiap peserta diberi masa selama 30 saat untuk membuat ulasan, manakala kategori 13 hingga 17 tahun diberikan 45 saat dan kategori 18 hingga 25 tahun selama satu minit.
Sorakan daripada ibu bapa dan pengunjung yang hadir turut memeriahkan suasana apabila setiap peserta tampil dengan gaya penyampaian tersendiri, termasuk meniru intonasi pengulas sukan profesional.
Penganjuran pertandingan itu memberi peluang kepada peserta mengasah kemahiran berkomunikasi serta meningkatkan keyakinan diri di hadapan khalayak.