'Port' samseng jalanan di Klang digempur lagi

Iklan
Antara individu yang diperiksa menerusi Op Samseng Jalanan di Lebuh Turi, Klang pada Ahad - Foto: IPD KLANG SELATAN

KLANG - Lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti samseng jalanan dengan aksi berbahaya di Lebuh Turi, Persiaran Raja Muda Musa, di sini digempur dalam Op Samseng Jalanan pada Ahad.

Operasi itu digerakkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bermula pada jam 12.01 tengah malam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, sebanyak 13 motosikal bersama penunggangnya telah diperiksa, manakala 16 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Menurutnya, tujuh motosikal telah disita untuk tindakan lanjut, selain satu kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Iklan

"Saringan air kencing turut dilakukan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ke atas 12 individu, namun didapati negatif dadah.

"Kesemua sitaan dan tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik Klang Selatan bagi pemeriksaan lanjut, manakala operasi seumpama itu akan dijalankan secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Kesemua sitaan dan tangkapan dibawa ke Balai Polis Trafik Klang Selatan bagi pemeriksaan lanjut - Foto: IPD KLANG SELATAN

Beliau berkata, pelaksanaan operasi itu bertujuan membanteras kegiatan samseng jalanan serta mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Tambahnya, pihak polis akan terus memperhebat operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti samseng jalanan.

Katanya, polis menyeru orang ramai supaya mematuhi undang-undang jalan raya serta mengamalkan budaya pemanduan berhemah demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Operasi itu turut mendapat kerjasama AADK dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).