Kenaikan harga barang tak gugat Aminah kekalkan menu RM1 hampir 10 tahun

Iklan
Aminah atau mesra disapa Kak Tie menunjukkan aneka mi celup yang dijual ketika ditemui di kedai Kak Tie Mee Celup Dua Amah di Kampung Raja baru-baru ini. Foto Bernama

MACHANG - Ketika kebanyakan peniaga makanan menaikkan harga berikutan peningkatan kos bahan mentah, seorang peniaga di Kampung Raja di sini terus mengekalkan kebanyakan harga makanannya serendah RM1 sejak hampir sedekad lepas.

Aminah Awang, 58, yang mula mengusahakan perniagaan makanan pada 2016 selepas menutup kedai runcit miliknya berkata, ia demi memastikan masyarakat masih dapat menikmati hidangan panas pada harga berpatutan.

Iklan
Iklan

Dia berkata, idea menjual hidangan pada harga RM1 dicetuskan oleh anak keduanya, Ku Nur Ainna Atiera, 31, yang mahu menyediakan pilihan makanan murah kepada kanak-kanak dan pelajar di kampung terutama selepas waktu persekolahan.

"Antara menu yang dijual pada harga RM1 ialah mi sup, bihun sup, kuetiau sup, nasi air, sosej bakar, Air Batu Campur (ABC) dan Air Batu Jagung (ABJ),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Iklan

Demi berkongsi rezeki Aminah kekal menjual makanan pada harga RM1 semangkuk sejak hampir sedekad lalu. Foto Bernama

Selain menu RM1, Aminah turut menawarkan nasi bersama ayam cincang pada harga RM3, Nasi Bujang RM2.50 dan Maggi Kari RM3 bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan mengikut kemampuan masing-masing.

Iklan

Walaupun dijual pada harga rendah, dia berkata, setiap hidangan tetap disediakan dengan lengkap termasuk sayur sawi dan isi ayam bagi memastikan pelanggan menikmati makanan yang enak serta berkhasiat.

Menu utama yang terdapat di kedai Kak Tie Mee Celup Dua Amah di Kampung Raja. Foto Bernama

Peningkatan kos bahan mentah tidak menghalangnya untuk mengekalkan harga tersebut kerana dia mendapatkan bekalan pada harga lebih rendah daripada pembekal tempatan selain menguruskan kos operasi secara berhemah.

Aminah berkata, operasi kedai kini dibantu anak keempatnya, Ku Nur Ainna Ariesya, 23, bersama empat pekerja bagi memastikan penyediaan makanan berjalan lancar setiap hari.

Kedai yang beroperasi dari Ahad hingga Khamis bermula 12 tengah hari hingga 7 malam itu, menjual antara 200 hingga 250 mangkuk hidangan setiap hari serta menerima pelanggan bukan sahaja dari Kelantan, malah Johor dan Kuala Lumpur.

Aminah sibuk menyiapkan mi celup pesanan pelanggan ketika ditemui di kedai Kak Tie Mee Celup Dua Amah di Kampung Raja baru-baru ini. Foto Bernama

Aminah berkata, usaha mengekalkan harga RM1 bukan sekadar strategi perniagaan, sebaliknya satu cara berkongsi rezeki dengan masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan.

"Saya anggap ini sebagai satu cara untuk bersedekah. Kalau orang yang mempunyai ramai anak atau kurang berkemampuan datang makan di sini, mereka boleh menikmati makanan yang murah dan  mengenyangkan. Itu yang paling menggembirakan saya,” katanya.

Sementara itu, pelanggan, Maria Nasuha Fauzi, 27, berkata, kedai berkenaan menjadi pilihannya sejak empat tahun lepas walaupun terletak kira-kira 30 minit dari kediamannya di Kampung Bukit Arang, Kuala Krai.

"Saya tertarik dengan keunikan menu RM1 yang sukar ditemui di tempat lain. Makanannya bukan sahaja murah, tetapi sedap dan mengenyangkan walaupun hanya satu hidangan.

"Saya biasanya akan makan mi sup bersama ABC, dan bagi saya inilah antara tempat yang masih mengekalkan konsep makanan mampu dinikmati semua,” katanya.

Sebelum ini, perkongsian oleh pempengaruh TikTok Senok Perut mengenai mi sup RM1 yang dijual Aminah tular di media sosial dengan meraih lebih 1.3 juta tontonan. - Bernama