IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan memerlukan pertambahan subsidi antara RM50 bilion hingga RM60 bilion setahun jika mahu menurunkan lagi harga RON95 dan diesel menerusi program Budi Madani.
Beliau berkata, ketika ini kerajaan sudah menanggung subsidi bahan api sebanyak RM40 bilion setahun bagi memastikan harga RON95 dan Budi Diesel kekal antara yang terendah di dunia.
Menurutnya, keputusan mengekalkan harga bahan api pada kadar semasa dibuat selepas mengambil kira beban yang bakal ditanggung rakyat sekiranya subsidi dikurangkan.
"Jadi kita perlu melihat apa yang benar-benar diperlukan kerana ia melibatkan beban kewangan negara yang sangat besar," katanya ketika berucap merasmikan Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Negeri Perak 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ummah, Chemor pada Ahad.
Anwar berkata, kerajaan berdepan cabaran besar dalam mengurus kewangan negara susulan ketidaktentuan ekonomi dunia yang dipengaruhi konflik peperangan di antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Katanya, konflik tersebut telah mengganggu laluan perdagangan dunia sekali gus menyebabkan kenaikan harga minyak, gas, baja dan fosfat di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kerajaan turut meneruskan pelbagai bentuk bantuan lain termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang melibatkan tambahan peruntukan RM15 bilion.
Selain itu katanya, kerajaan juga melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam yang tertinggi dalam sejarah selepas kumpulan itu tidak menikmati pelarasan gaji selama 12 tahun.
"Saya memilih untuk mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan miskin, petani, nelayan, pemandu teksi, pengangkutan awam dan juga kos utiliti sekolah.
"Sebab itu saya harap masyarakat, termasuk guru-guru pondok dan sekolah agama, memahami cabaran yang dihadapi kerajaan dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen yang mendakwa kerajaan tidak membantu rakyat," katanya.
Menurut Anwar, semua keputusan tersebut dibuat berlandaskan prinsip Negara Madani yang mengutamakan kebajikan rakyat di samping memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan.