KELAB bola sepak Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) mengakui bersedia menukar nama dan logo pasukan sekiranya diarahkan berbuat demikian, namun tetap berharap dapat mengekalkan identiti yang disifatkan sebagai 'keramat' demi meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Super.
Presidennya, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penjenamaan semula hanya akan dilakukan sebagai pilihan terakhir sekiranya keputusan pihak berkaitan termasuk FIFA, memerlukan perubahan tersebut.
"Kalau boleh kita mahu kekalkan kerana nama ini sudah dikenali, malah ada pihak dari Brunei yang menunjukkan minat kepada pasukan ini atas faktor nama dan logonya.
Sebelum itu, beliau hadir pada Majlis Pengenalan Penaja KRW FC Musim 2026/27 dan hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Nazif Ab Aziz.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan KRW FC melakukan penjenamaan semula sekiranya perlu bagi memenuhi syarat yang ditetapkan.
Muhamad Zaki berkata, buat masa ini fokus utama kelab adalah meneruskan persiapan menghadapi Liga Super dengan menggunakan nama serta logo sedia ada.
"Pada masa sama, kita menunggu keputusan daripada FIFA. Jika perlu ditukar, kita akan lakukan kerana persediaan ke arah itu memang sudah ada.
"Buat masa ini saya minta penyokong terus bersama KRW FC, gunakan nama dan logo ini dengan penuh semangat sambil kita menanti keputusan yang bakal dibuat," katanya.