IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan penjelasan berhubung isu kerugian kira-kira RM200 juta membabitkan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam syarikat eFishery, Indonesia di Dewan Negara pada Isnin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau tidak mahu memberikan sebarang alasan berhubung perkara itu dan akan menjelaskan fakta sebenar mengenai pelaburan berkenaan.
“Itu ada saya keluarkan... saya akan jawab soalan di Dewan Negara esok.
“KWAP itu betul, ia di bawah Suruhanjaya, tetapi ini syarikat kewangan pemegang dana pencen. Ada panel pelaburan dan ada lembaga.
"Ia tidak lapor kepada kita, tetapi saya tidak mahu beri alasan, biar kita beri apa faktanya esok di Dewan Negara,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Madani Kita Bersama Komuniti Tambun di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Tambun di sini pada Ahad.
Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan pelaburan KWAP dalam eFishery dipercayai menjadi mangsa penipuan terancang susulan manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat berkenaan.
MOF berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP telah mengambil beberapa langkah termasuk tindakan undang-undang, usaha pemulihan dana, semakan tatakelola dalaman serta memperkukuh kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan.
Media sebelum ini melaporkan eFishery, syarikat teknologi pertanian Indonesia yang menyediakan penyelesaian pemakanan ikan secara automatik, sedang disiasat susulan dakwaan penyelewengan kewangan termasuk manipulasi penyata kewangan.
Berdasarkan laporan DealStreetAsia, KWAP dilaporkan melabur kira-kira AS$47.7 juta (sekitar RM200 juta) dalam pusingan pembiayaan Series D eFishery pada 2023.