PGSM sedia bantu realisasikan pindaan Akta 333

Iklan
PGSM sedia menyumbang kepakaran bagi memastikan penggubalan rang undang-undang pindaan Akta 333 yang mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa kemalangan jalan raya dapat direalisasikan. Gambar kecil: Musa

SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bersedia menyumbang kepakaran bagi memastikan penggubalan rang undang-undang pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa kemalangan jalan raya dapat direalisasikan.

Presidennya, Musa Awang berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan Jemaah Menteri meminda Akta 333 kerana langkah itu bukan sahaja tepat pada masanya, malah selari dengan prinsip berasaskan syariah yang mengutamakan kemaslahatan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan pindaan tersebut mampu memastikan mangsa atau keluarga mangsa memperoleh keadilan dengan lebih pantas tanpa perlu melalui proses tuntutan sivil yang panjang dan berlarutan.

"Mutakhir ini, isu pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau terlibat dalam perlumbaan haram sering mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa serta menyebabkan kecederaan serius kepada mangsa.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan Jemaah Menteri pada Rabu lepas bersetuju secara dasar dengan cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Pindaan ini bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris mangsa sebagai hukuman tambahan, selain hukuman sedia ada.

Iklan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan itu turut merangkumi usaha memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.

Ujar beliau, cadangan ini bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu malah dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatan kepada mangsa serta keluarga.

Dalam pada itu, Musa berkata, cadangan pindaan itu juga selari dengan usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang sedang meneliti pelaksanaan mekanisme pampasan berasaskan syariah bersama barisan mufti dan pakar perundangan sejak 11 Februari lalu.

Menurutnya, prinsip Hifz al-nafs atau memelihara nyawa merupakan antara maqasid syariah yang menjadi asas kepada usaha meningkatkan keselamatan jalan raya, melindungi nyawa serta mengurangkan beban mangsa dan keluarga.

Tambah beliau, prinsip Dhaman, Diyah dan Arsy dalam syariah juga boleh diterjemahkan dalam penggubalan pindaan Akta 333 bagi memastikan hak mangsa terus terpelihara.