UNITED KINGDOM - Personaliti media sosial kontroversi, Andrew Tate dan adiknya, Tristan disahkan ditahan di Miami, Amerika Syarikat (AS) selepas pihak berkuasa Britain mengumumkan pertuduhan tambahan terhadap kedua-duanya.
Memetik laporan BBC, United Kingdom's Crown Prosecution Service (CPS) memaklumkan Andrew berdepan tujuh lagi pertuduhan rogol, selain beberapa pertuduhan lain berkaitan jenayah yang didakwa termasuk pemerdagangan seks dan penyebaran bahan pornografi kanak-kanak.
Tristan pula didakwa atas satu pertuduhan serangan seksual, dua pertuduhan rogol serta tiga pertuduhan mengatur atau memudahkan kegiatan pemerdagangan bagi tujuan eksploitasi seksual.
Ketua Bahagian Jenayah Khas CPS, Malcolm McHaffie berkata, keputusan untuk memfailkan pertuduhan dibuat selepas pihaknya menerima satu lagi fail bukti daripada Polis Bedfordshire.
"Ia sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang didakwa dalam kes ini meningkat kepada tujuh orang," katanya pada Ahad.
Kesalahan yang didakwa itu dikatakan berlaku antara Julai 2010 hingga Ogos 2017.
Bagaimanapun, 'Tate Brothers' sebelum ini menafikan semua dakwaan salah laku terhadap mereka.
Perkhidmatan Marshal AS mengesahkan kepada BBC bahawa kedua-dua beradik itu ditahan, manakala jurucakap Jabatan Kehakiman AS memberitahu penahanan tersebut dibuat selaras dengan prosiding ekstradisi.
Dalam satu kenyataan terdahulu, CPS memaklumkan pihak pendakwa raya akan memohon supaya kedua-dua beradik itu diekstradisi ke UK.
Pada Mei 2025, pihak pendakwaan mengesahkan Andrew, 39, dan Tristan, 37, bakal berdepan sejumlah 21 pertuduhan di UK.