Deschamps tutup era gemilang dengan kekecewaan di Miami

Iklan
Deschamps (kanan) menerima ucapan selamat maju jaya daripada pengendali England, Thomas Tuchel sebelum sepak mula penentuan tempat ketiga Piala Dunia di Miami. Foto: Agensi

TIADA hadiah perpisahan indah buat Didier Deschamps apabila era 14 tahunnya bersama Perancis berakhir dengan kekecewaan selepas Les Bleus tewas 4-6 kepada England dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026.

Mengharapkan pingat gangsa sebagai penutup perjalanan terakhirnya, Deschamps sebaliknya menyaksikan pasukannya berakhir di tempat keempat selepas aksi penuh dramatik di Miami yang menyaksikan England meraih kemenangan.

Iklan
Iklan

Sepanjang tempoh 14 tahun, bekas kapten Les Bleus itu mencipta sejarah apabila membawa Perancis menjulang Piala Dunia 2018 di Rusia, selain muncul naib juara pada edisi 2022 di Qatar.

Deschamps turut meninggalkan rekod luar biasa apabila mengendalikan 187 perlawanan bersama skuad kebangsaan Perancis serta muncul jurulatih paling banyak mengendalikan aksi Piala Dunia dengan 26 perlawanan.

Iklan

Beliau juga menjadi antara tiga individu dalam sejarah yang memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih, selepas Franz Beckenbauer (Jerman) dan Mário Zagallo (Brazil).

Walaupun berdepan beberapa detik pahit termasuk kekalahan final Euro 2016 dan penentuan penalti menentang Argentina pada final Piala Dunia 2022, konsistensi Deschamps kekal sukar ditandingi.

Iklan

Kini, tugas membina era baharu Les Bleus bakal bermula dengan perhatian terarah kepada calon penggantinya, Zinedine Zidane yang disebut sebagai pilihan utama untuk mengambil alih pasukan.

Namun, selepas lebih sedekad mencipta sejarah, Deschamps tetap meninggalkan legasi besar, cuma tanpa noktah sempurna yang diharapkannya di perlawanan terakhir bersama Les Bleus.