LUIS de la Fuente mengakui Lionel Messi kekal ancaman terbesar Argentina menjelang final Piala Dunia 2026 pada awal pagi Isnin (3 pagi waktu Malaysia), namun Sepanyol tidak akan menggunakan pendekatan kawalan individu terhadap bintang berusia 39 tahun itu.
Jurulatih La Roja itu berkata, pengalaman lalu ketika berdepan Messi ketika pemain itu masih di peringkat remaja membuatkannya memahami betapa sukarnya untuk menyekat pergerakan kapten Argentina tersebut.
De la Fuente menceritakan ketika beliau mengendalikan pasukan remaja Sevilla, mereka pernah cuba menugaskan seorang pemain untuk mengawal Messi secara individu ketika menentang Barcelona.
"Kami pernah cuba mengawal Messi secara individu ketika menentang Barcelona. Kedudukan masih 0-0, tetapi selepas pemain yang menjaganya digantikan, Messi menjaringkan empat gol dalam tempoh 15 minit," kata De la Fuente.
Justeru, De la Fuente menegaskan Sepanyol tidak akan mengulangi pendekatan sama dalam final, sebaliknya memilih untuk mengawal ruang dan memastikan pemainnya sentiasa berwaspada terhadap gerakan Messi.
"Kami tidak akan menggunakan kawalan individu terhadap Messi. Kami perlu sentiasa peka dan memastikan dia tidak diberi ruang," katanya.
Messi yang bakal beraksi dalam final Piala Dunia terakhirnya, terus menjadi nadi Argentina sepanjang kejohanan apabila mempamerkan aksi cemerlang untuk membawa pasukannya ke pentas penentuan.
Pada masa sama, De la Fuente mengakui kehebatan Messi bukan sahaja terletak pada kemampuan di atas padang tetapi turut menjadi contoh dari segi sikap dan profesionalisme kepada generasi muda.
"Dia contoh buat pemain muda dari segi sikap dan tingkah laku, terutama melihat prestasi luar biasanya pada usia sebegini," kata De la Fuente.
Beliau turut menegaskan final antara Argentina dan Sepanyol akan ditentukan oleh kualiti permainan, sambil menolak sebarang dakwaan lawan mereka akan menggunakan pendekatan luar biasa untuk mengganggu rentak La Roja.