SEJAK pertama kali dipertandingkan pada tahun 1930, Piala Dunia telah menyaksikan lebih 1,000 perlawanan berlangsung (1,068 perlawanan sehingga tamat edisi 2026). Walaupun setiap perlawanan amat bermakna buat pemain yang terlibat, tidak semuanya kekal dalam lipatan sejarah. Namun begitu, ada juga pertarungan yang menjadi legenda. Daripada pesta gol yang mendebarkan, kejutan luar biasa, detik kontroversi hinggalah pertembungan yang dipengaruhi unsur politik. Berikut ialah 10 perlawanan Piala Dunia yang paling meninggalkan kesan dalam sejarah kejohanan ini.
1. Argentina 3–3 Perancis (Final 2022)
Dua bintang utama bola sepak, Lionel Messi dan Kylian Mbappe memburu gelaran Piala Dunia kedua sebelum berusia 24 tahun. Selepas 90 minit, kedudukan terikat 2-2, Gonzalo Montiel akhirnya menyempurnakan penalti kemenangan, sekali gus menamatkan penantian Argentina selama 36 tahun untuk menjulang trofi dan akhirnya menobatkan Messi sebagai juara dunia.
2. Itali 4–3 Jerman Barat (Separuh Akhir 1970)
Ia digelar sebagai 'perlawanan abad ini' apabila masa tambahan bertukar menjadi pertunjukan luar biasa dalam tempoh 30 minit. Itali akhirnya menang 4-3. Kemuncak drama berlaku apabila Gerd Muller menyamakan kedudukan kepada 3-3, namun beberapa saat kemudian Gianni Rivera menjaringkan gol kemenangan ketika siaran ulangan gol Muller masih ditayangkan. Walaupun tewas, pemain Jerman Barat tetap dikenang khususnya kapten Franz Beckenbauer yang terus bermain dengan tangannya diikat menggunakan anduh kerana bahu terkehel.
3. Itali 3–2 Brazil (Peringkat Kumpulan 1982)
Ia dianggap sebagai antara perlawanan bola sepak terbaik sepanjang zaman. Paolo Rossi yang baru kembali ke padang selepas digantung selama dua tahun akibat skandal mengatur perlawanan dengan menjaringkan dua gol awal. Brazil bangkit menerusi jaringan Socrates dan Falcao, namun Rossi melengkapkan hatriknya untuk memastikan kemenangan Itali yang mengambil peluang terhadap kelemahan pertahanan Brazil.
4. Jerman Barat 3–2 Hungary (Final 1954)
Final ini dikenali sebagai 'Miracle of Bern' (Keajaiban Bern) antara kejutan terbesar dalam sejarah bola sepak. Hungary hadir sebagai pasukan pilihan dengan rekod tanpa kalah selama empat tahun dan dibarisi pemain hebat seperti Ferenc Puskas, Sandor Kocsis dan Zoltan Czibor. Ia mendahului 2-0 dalam lapan minit pertama, namun Jerman Barat bangkit sebelum Helmut Rahn menjaringkan gol kemenangan. Kemenangan yang mencetuskan pelbagai kontroversi itu menjadi simbol kebangkitan Jerman selepas Perang Dunia Kedua.
5. Brazil 1–7 Jerman (Separuh akhir 2014)
Walaupun bermain di laman sendiri, Brazil mengalami kekalahan paling memalukan dalam sejarah Piala Dunia apabila Jerman membelasah mereka 7-1. Miroslav Klose menjaringkan gol Piala Dunia ke-16 untuk memecahkan rekod Ronaldo sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan. Kekalahan yang menjadi trauma paling besar itu juga menamatkan rekod Brazil yang tidak pernah tewas dalam 62 perlawanan kompetitif di tempat sendiri sejak 1975.
6. Uruguay 2–1 Brazil (Kumpulan Akhir 1950)
Di hadapan kira-kira 205,000 penonton, Alcides Ghiggia menjaringkan gol kemenangan Uruguay 11 minit sebelum tamat. Pada edisi 1950, tiada perlawanan akhir sebenar. Juara ditentukan menerusi kumpulan akhir dan Brazil hanya memerlukan keputusan seri untuk bergelar juara. Namun, Uruguay enggan mengalah. Selepas menyamakan kedudukan, Ghiggia menjaringkan gol kemenangan yang mencipta antara kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia.
7. Belanda 2-3 Brazil (Suku Akhir 1994)
Brazil tampil mengutamakan pertahanan berbanding corak permainan 'samba' yang sinonim dengan serangan kreatif. Selepas babak pertama tanpa jaringan, Romario membuka tirai jaringan sebelum Bebeto menggandakan kelebihan. Belanda bangkit menerusi Dennis Bergkamp dan Aron Winter untuk mengikat kedudukan 2-2. Namun pada minit ke-83, Branco meledakkan sepakan percuma dari jarak kira-kira 27 meter untuk menghadiahkan kemenangan dramatik buat Brazil.
8. Portugal 3-3 Sepanyol (Peringkat Kumpulan 2018)
Pertemuan dua negara jiran ini dibayangi konflik yang berlarutan selama beberapa abad. Portugal mendahului menerusi penalti Cristiano Ronaldo, namun Diego Costa menyamakan kedudukan. Ronaldo sekali lagi meletakkan Portugal di hadapan hasil kesilapan penjaga gol David de Gea.Sepanyol bangkit menerusi jaringan kedua Costa dan rembatan hebat Nacho Fernandez. Namun, Ronaldo melengkapkan hatriknya menerusi sepakan percuma pada penghujung permainan untuk memastikan keputusan seri.
9. Argentina 2–2 England (Pusingan 16 Terbaik 1998)
Perlawanan bermula dengan aksi menyerang yang luar biasa apabila kedua-dua pasukan menjaringkan dua gol pada babak pertama. Keadaan berubah selepas David Beckham dilayangkan kad merah pada minit ke-47 kerana menyepak kaki Diego Simeone sebagai tindak balas selepas dijatuhkan pemain Argentina itu. Walaupun bermain dengan 10 orang, England bertahan dengan cemerlang sehingga penentuan penalti. England akhirnya tewas menerusi sepakan penalti yang menjadi satu lagi episod pahit dalam sejarah mereka di Piala Dunia.
10. Portugal 5-3 Korea Utara (Suku Akhir 1966)
Kedua-dua pasukan membuat penampilan sulung. Korea Utara mengejutkan dunia apabila mendahului 3-0 dalam tempoh 25 minit. Namun Eusebio mencuri tumpuan dengan meledak empat gol untuk mengemudi kebangkitan Portugal sebelum Jose Augusto melengkapkan kemenangan 5-3. Ia kekal sebagai salah satu perubahan momentum paling dramatik di pentas Piala Dunia.
SUMBER: www.sportsillustrated.com