Scaloni bimbang Argentina kepenatan

Iklan
Lionel Scaloni

LIONEL Scaloni mengakui faktor pemulihan menjadi cabaran terbesar Argentina menjelang final Piala Dunia 2026 pada awal pagi Isnin (3 pagi waktu Malaysia) selepas juara bertahan itu melalui laluan lebih mencabar berbanding Sepanyol.

Argentina terpaksa mengharungi aksi sengit ketika menewaskan England pada separuh akhir, manakala Sepanyol memperoleh kelebihan satu hari tambahan rehat selepas menyingkirkan Perancis dengan kemenangan 2-0.

Iklan
Iklan

Scaloni berkata, tempoh pemulihan singkat menyebabkan beberapa pemainnya masih belum berada pada tahap kecergasan terbaik menjelang perlawanan penentuan di Stadium New York New Jersey.

"Kami memberi tumpuan kepada pemulihan dan selepas itu akan melihat keadaan pemain. Ada beberapa pemain yang masih belum mencapai tahap 100 peratus," kata Scaloni.

Iklan

Beliau turut meluahkan rasa kurang puas hati apabila skuadnya perlu menjalani latihan dalam cuaca panas terik sejurus tiba di New York, sekali gus mengehadkan persiapan taktikal mereka sebelum final.

"Selepas sidang media dan beberapa perkara lain, kami hanya sempat menjalani latihan ringkas.

Iklan

"Kami tidak mempunyai banyak masa untuk mencuba banyak perkara," katanya.

Bagaimanapun, Scaloni menegaskan Argentina tidak akan menjadikan faktor keletihan sebagai alasan, sebaliknya tetap memberi tumpuan kepada kekuatan sendiri sambil menghormati ancaman Sepanyol.

"Kami tahu kekuatan Sepanyol dan mereka adalah pasukan hebat. Kami perlu cuba menghalang mereka daripada memanfaatkan kelebihan yang dimiliki," ujarnya.

Mengenai Lionel Messi yang berpotensi tampil dalam penampilan terakhirnya di Piala Dunia, Scaloni enggan membuat ramalan, namun menyifatkan kapten Argentina itu sebagai legenda yang masih mampu mencipta keajaiban pada usia 39 tahun.

"Messi adalah sejarah dan legenda. Apa yang dilakukannya untuk mara ke final Piala Dunia pada usia 39 tahun sangat luar biasa dan kita perlu menghargai detik ini," kata Scaloni.